LONDON, 11 JULAI – Arsenal telah menandatangani pemain pertahanan kiri, Nuno Tavares (gambar) dari Benfica dengan kontrak jangka panjang, demikian diumumkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam.
Pemain antarabangsa Portugal Bawah 21 tahun itu adalah pemain pertama yang ditandatangani The Gunners dalam perjanjian perpindahan yang dilaporkan bernilai sekitar £8 juta (AS$11 juta).
“Kami mengalu-alukan Nuno ke kelab,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta. “Dia adalah pemain muda dengan potensi besar yang telah berkembang dengan baik bersama Benfica pada musim-musim kebelakangan ini dan juga menunjukkan kualitinya dengan menjadi sebahagian daripada pasukan Portugal Bawah 21 Tahun.
“Kedatangan Nuno akan memberi kekuatan dan pilihan tambahan kepada pasukan Gunners di bahagian pertahanan, terutama di posisi kiri pertahanan.”
Tavares, 21, yang pernah beraksi menentang Arsenal di Liga Europa musim lalu, akan bergabung dengan skuad Arteta setelah melakukan perjalanan ke Britain dan menyelesaikan syarat pengasingan diri koronavirus.
Arsenal belum mengesahkan tempoh kontrak Tavares selain menyatakan bahawa ia adalah perjanjian ‘jangka panjang’.
Pengarah teknikal Edu berkata “Nuno adalah pemain muda berbakat yang dikehendaki oleh sejumlah kelab di seluruh Eropah.
“Dia akan memberikan sokongan yang kuat di bahagian pertahanan kiri. Kami berharap dia berkembang dan maju bersama kami dan menjadi anggota penting dalam pasukan.” – AFP

































