Nuno tidak sabar jendela perpindahan ditutup

LOS ANGELES, 17 OGOS – Harry Kane disenaraikan dalam skuad Tottenham untuk pertemuan Liga Konfederasi Europa pada minggu ini dan Nuno Espirito Santo mengakui bahawa dia tidak sabar untuk melihat jendela perpindahan pemain ditutup dan menamatkan spekulasi mengenai masa depan penyerang itu.

Manchester City berminat mendapatkan ketua pasukan England, Kane dan dilaporkan membuat tawaran 100 juta pound pada Jun lalu.

Kane, yang mempunyai baki kontrak selama tiga tahun – tidak berada dalam skuad semasa Tottenham menundukkan Citu 1-0 dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris pada Ahad.

Walau bagaimanapun, The Times mendakwa Kane dijangka akan kekal selama satu musim lagi disebabkan keengganan City memenuhi kehendak pengerusi Tottenham, Daniel Levy, yang dilaporkan meminta 160 juta pound.

Penyerang berusia 28 tahun itu disenaraikan kelmarin ke dalam skuad 25 orang pemain Spurs bagi perlawanan playoff Liga Konfederasi Europa menentang Pacos de Ferreira.

“Kami telah menyenaraikan skuad,” Nuno memberitahu BBC kelmarin. “Kami mesti menunjukkan komitmen kepada mereka tetapi kami tahu bahawa 31 Ogos adalah sesuatu di luar kawalan kami.

“Semua pengurus di Liga Perdana Inggeris mempunyai perasaan yang sama seperti saya, cuba menamatkan jendela perpindahan.”

Nuno berkata dia menjangkakan Kane untuk kekal di kelab utara London itu, meskipun menambah dia mempunyai pengalaman yang cukup dan mengetahui Spurs perlu mempunyai beberapa pilihan untuk mencari pengganti penyerang tersebut.

“Harry memulakan latihan bersama kami, dia bekerja pada pagi Ahad dan bersedia untuk membantu pasukan,” katanya. – AFP

Gambar fail reaksi Harry Kane selepas menjaringkan gol untuk Spurs. Nuno Espirito Santo berharap jendela perpindahan pemain ditutup segera bagi menamatkan spekulasi mengenai masa depan penyerang itu. – AP