Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Nur Amanina juara pertandingan WIS

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 26 JAN – Sebagai sebahagian daripada kempen berterusan untuk menyokong belia negara, Seria Energy Lab (SEL) telah menamatkan Musim 2 Pertandingan Wanita dalam Sains (WIS) dengan Dayang Nur Amanina @ Siti Hawa binti Haji Ariffin dari Mahad Islam Brunei, Tutong dinobat sebagai juara dalam majlis penutup yang diadakan secara maya.

    Lebih 80 pelajar wanita dari sekolah di seluruh negara telah mendaftar dalam pertandingan itu. Pelajar menghantar pelbagai cadangan projek yang membawa tema Pendidikan STEM atau Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

    Tujuan pertandingan adalah untuk menggalak pelajar wanita memburu minat mereka dalam pendidikan STEM selain memupuk kemahiran abad ke-21 yang mendatangkan manfaat kepada masa depan pelajar.

    Menerusi pertandingan ini, peserta didedahkan kepada pelbagai bengkel pembangunan seperti komunikasi sains, keusahawanan, kepimpinan dan penulisan cadangan serta menguji pengetahuan sains dan penyelesaian masalah ketika mereka bekerja secara berkumpulan menerusi pelbagai cabaran yang dianjurkan.

    Sepanjang pertandingan, Dayang Nur Amanina berupaya menarik perhatian hakim dan memenangi anugerah menerusi projek inovatif bertajuk Program Perkembangan dan Keusahawanan Kemahiran (SEED), dengan tujuan mewujudkan kesedaran awam mengenai cara-cara mengatasi masalah pengangguran belia dalam komuniti sekolah.

    Dayang Nur Amanina dinobat juara dalam pertandingan WIS yang berakhir baru-baru ini. – Gambar serahan SEL

    Projek berkenaan dilaksanakan dengan sokongan rakan sepasukan dan guru sekolah, Hajah Muizzah binti Haji Mohd Nor.

    Meskipun sekatan COVID-19, projek itu masih dilaksanakan dengan berjaya menerusi ceramah kesedaran maya serta bengkel upskilling dan minggu keusahawanan, selain menerima sokongan daripada Projek Big BWN, BruCERT, Foodelico dan Dainty Hands & Co.

    “Saya mahu membantu belia di Brunei mencapai matlamat keusahawanan mereka dan bersedia menghadapi masa depan mereka. Projek Big BWN merupakan inspirasi saya kerana ia mempunyai konsep yang sama,” kata Dayang Nur Amanina mengenai Projek SEED.

    Mengenai kejayaan projek, Dayang Nur Amanina berkata, “Saya berasa amat yakin dan kejayaan memberikan saya motivasi untuk mendorong wanita di luar sana walaupun jika kami tidak yakin dengan diri, kami boleh membuktikan bahawa kami boleh mencapai apa di luar jangkaan.”

    Sebagai juara pertandingan, Dayang Nur Amanina juga dipilih menjadi duta baharu untuk SEL, yang diharapkan akan memberi inspirasi dan galakan kepada saintis dan pencipta muda lain.

    Pengurus Projek Wanita dalam Sains 2021, Dayang Nurul Fathien binti Mohd Amirul Hamdie berkata, “Dari hari pertama, sudah jelas pasukan dari Mahad Islam Brunei menunjukkan saingan hebat. Mereka bertanyakan soalan bijak dan mengambil langkah tambahan untuk memastikan projek cadangan mereka ditulis dengan baik. Dayang Amanina mempamerkan prestasi menonjol dan membuktikan dia mempunyai segala bakat untuk menduduki tiga tempat teratas.

    “Walaupun negara berdepan gelombang kedua pandemik dan dinasihatkan tinggal di rumah, ia tidak menghalang Dayang Amanina dan kumpulannya untuk meraih kejayaan. Mereka berjaya melaksanakan Projek SEED dengan cemerlang menggunakan kaedah teknologi secara kreatif,” tambahnya.

    Dengan berakhirnya Pertandingan WIS terbaharu, SEL sedang bersedia untuk menganjurkan beberapa siri pertandingan dan Musim 3 Pertandingan WIS kini dibuka untuk pendaftaran.

    Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman media sosial di Facebook dan Instagram SEL.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...