Nur Dhabitah giat buat persiapan Olimpik

KUALA LUMPUR, 13 APRIL – Empat minggu tanpa sebarang terjunan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menggusarkan penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri dalam persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik Tokyo 2021.

Namun, pemenang pingat emas acara 3 meter papan anjal individu pada Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 itu, berkata tempoh PKP yang lebih panjang mungkin mempengaruhi tempoh masa diperlukan untuk beliau dapat kembali mencapai kesempurnaan dalam gaya terjunannya. Sehingga kini, penerjun berusia 20 tahun itu hanya menjalani latihan kecergasan fizikal serta latihan daya otot di rumah berdasarkan program dirangka jurulatih kelahiran Australia, ChristianBrooker sementara menanti program seterusnya sebaik PKP berakhir.

“Jurulatih (Brooker) cakap seseorang penerjun itu tetap boleh buat gaya terjunan dan ‘melipat’ badannya walaupun lama tidak berbuat demikian, cuma rupa (kesempurnaan) terjunan itu saja yang akan terkesan dan saya percaya dengan teori beliau itu. Jadi saya mungkin perlukan lebih masa selepas ini.

“Ini situasi baharu, saya belum pernah tidak membuat terjunan dalam tempoh yang lama. Sekarang saya hanya ikut segala latihan ditetapkan jurulatih dan beliau turut menetapkan beberapa sasaran yang perlu kami capai dalam latihan. Setakat ini, saya amat positif,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu juga bersedia berlatih di mana-mana sama ada di dalam negara atau kembali menjalani latihan di luar negara sebaik berakhir tempoh pelaksanaan PKP dan situasi COVID-19 di seluruh dunia semakin pulih. – Bernama