Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Nur Izzati tekad bantu pasukan raih semula pingat

    KUALA LUMPUR, 18 APRIL – Pemain berpengalaman skuad bola keranjang wanita Malaysia, Nur Izzati Yaakob berazam membantu Malaysia menebus kekecewaan edisi lepas dengan sasaran meraih pingat pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam yang dijadualkan bermula 12 hingga 23 Mei ini.

    Nur Izzati yang bakal membuat penampilan kelima Sukan SEA di Hanoi mengakui tiada alasan untuk skuad wanita Malaysia tidak membawa pulang pingat dalam acara 5×5 buat kali kedua berturut-turut selepas gagal pada edisi 2019 di Filipina.

    Meskipun sasaran yang diletakkan adalah pingat gangsa, pemain berusia 33 tahun itu berkata beliau dan rakan sepasukan enggan turun bertanding semata-mata mahu mendapatkan gangsa, sebaliknya mahu memberikan yang terbaik bagi mencabar kilauan emas.

    “Sudah pasti tahun ini, kalau boleh nak dapatkan balik pingat, tidak kira warna apa sekali pun kerana kita sudah merasai kekecewaan (edisi 2019) lepas.

    “Di Filipina kita tidak dapat sebarang pingat, jadi saya harap saya boleh bantu pasukan memenangi satu pingat tak kira gangsa, perak atau pun emas,” katanya pada sidang media Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil di sini, hari ini. 

    Pada masa sama, Nur Izzati berkata cabaran terbesar dihadapi skuad negara di Hanoi adalah terpaksa bersaing dengan pemain naturalisasi yang dipanggil untuk memperkuatkan pasukan lawan. “Boleh dikatakan setiap negara bertanding ada pemain naturalisasi, sekurang-kurangnya seorang. Apa-apa pun kami akan buat yang terbaik dan ketika ini kami masih lagi sedang memperkuatkan keseluruhan skuad,” katanya yang hanya akan beraksi dalam acara 5×5 wanita.

    Sepanjang mewakili Malaysia dalam acara 5×5 wanita di Sukan SEA, Nur Izzati sudah memenangi dua pingat emas masing-masing pada edisi 2015 di Singapura dan Kuala Lumpur 2017 selain dua gangsa yang diraih pada edisi 2011 di Indonesia dan 2013 di Myanmar. – Bernama

    Atlet Pasukan Bola Keranjang Wanita Malaysia, Nur Izzati Yaakob ketika bercakap pada sidang media mengenai persediaan menghadapi temasya Sukan Sea Hanoi di MSN, Bukit Jalil, hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...