Nur Syaiful tempah slot acara final 50m gaya bebas

TOKYO, 1 SEPT – Perenang Malaysia, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli acara renang 50 meter (m) menempah slot ke final gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik hari ini.

Walaupun bermula agak lambat, atlet berusia 26 tahun itu berjaya menampilkan renangan memberangsangkan untuk menamatkan saingan di tempat ketiga pada saringan pertama dengan catatan masa 33.46 saat (s) di Pusat Akuatik Tokyo.

Nur Syaiful berkata beliau ternyata berpuas hati dapat layak ke final dan akan cuba mempamerkan aksi lebih baik dengan sekurang-kurangnya memperbaiki catatan peribadi dalam saingan akhir dijadual berlangsung pada 7:29 malam (6:29 petang waktu Malaysia).

“Saya mahu simpan tenaga untuk petang ini, itulah sebab saya agak ketinggalan di peringkat permulaan. Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik,” katanya. – Bernama