Nuraida menang Volvo V40

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Bulan Ramadan ini membawa tuah buat Nuraida Chung Abdullah dari Malaysia apabila memenangi sebuah kereta Volvo V40 dalam cabutan akhir Kempen V40 Driveaway yang diadakan di Dewan Ketibaan, Lapangan Terbang Antara-bangsa Brunei, hari ini.

Penyampaian hadiah utama berkenaan telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad selaku tetamu kehormat majlis.

Ketika ditemui, Nuraida melahirkan perasaan tidak menyangka akan memenangi sebuah kereta.

Menurutnya, semasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, beliau berkesempatan untuk membeli minyak harum semasa promosi dijalankan dan diberikan borang penyertaan untuk menyertai cabutan bertuah kempen V40 Driveaway.

“Alhamdulillah, dengan adanya kereta baru ini Volvo V40 akan saya hadiahkan kepada anak saya”, katanya.

Sementara itu, Loo Kee Lee dari Brunei, Awang Jihadi Haji Awang Kasim dari Brunei, Muhammad bin Haji Mus dari Brunei, Wang Pee Yeun dari Malaysia, dan Awang Abdul Halim Saim dari Brunei masing-masing memenangi hadiah sagu hati berupa baucar bernilai $100 yang turut disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

Kempen V40 Driveaway, Spend & Win, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang bermula pada 20 Julai 2017 dan berakhir pada 31 Mei 2018 itu merupakan kempen julung-julung kali dianjurkan bersama antara Jabatan Penerbangan Awam dan Kementerian Perhubungan.

Para pelanggan membuka sampul surat untuk mencari pemenang bagi Kempen V40 Driveaway yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Aktiviti ini merupakan antara usaha ke arah menjadikan lapa-ngan terbang lebih menarik di samping menggalakkan lagi orang ramai dan penumpang-penumpang khususnya untuk menjadikan lapangan terbang sebagai tempat pilihan mereka berbelanja dan menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pemangku Pengarah Penerbangan Awam, Awang Mohammad Nazri bin Mohammad Yusof, para pengarah dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Perhubungan dan syarikat-syarikat berkepentingan yang beroperasi di La-pangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Dalam pada itu juga, majlis turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada penaja-penaja iaitu Bank Baiduri, D’ Sunlit Sdn Bhd, KFM dan peruncit yang mengambil bahagian yang termasuk Aewon Brunei, Anjung Saujana, Burger King, DST Communications, KFC Brunei dan Paloma dalam sama-sama menjayakan kempen berkenaan.

Pada majlis itu, video pendek juga ditayangkan untuk mengongsikan bagaimana kempen berkenaan mula diungkayahkan.