KOTA BHARU, 21 APRIL – Masih belum puas walaupun telah dinobatkan sebagai penjaring tempatan terbanyak Liga Premier 2021, penyerang prolifik Kelantan FC, Nurshamil Abdul Ghani berazam untuk mempertahankan gelaran itu untuk musim tahun ini.
Penyerang berusia 27 tahun itu yakin akan dapat menggapai impian itu selepas beliau yang kini telah mencatatkan tiga jaringan, hanya memerlukan enam atau lebih jaringan untuk sekurang-kurangnya menyamai rekod jaringan musim lepas iaitu sembilan jaringan.
“Saya akan memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan untuk memastikan saya mampu meledak gol dan pastinya saya mahu menjaringkan lebih daripada sembilan gol sebagaimana pencapaian saya pada musim lepas.
“Ketika ini, selepas mengharungi lima perlawanan, saya mampu menjaringkan tiga gol dan ia sebagai motivasi yang baik dan pembakar semangat kepada saya untuk mempertahankan anugerah dimenangi musim lepas dan membawa pasukan ini menyertai Liga Super musim depan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada Disember tahun lepas, Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) yang diadakan secara maya telah menobatkan Nurshamil sebagai penjaring terbanyak tempatan Liga Premier selepas meledakkan sembilan gol.
Selain berazam mempertahankan gelaran itu, pemain kelahiran Melaka itu turut menanam hasrat untuk menyarung jersi kebangsaan sekiranya diberi ruang dan peluang menyertai kem latihan pusat. – Bernama