Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    Nurshuhaini harap pengalaman Piala Uber bantu di BATC

    KUALA LUMPUR, 8 FEB – Pemain badminton perseorangan wanita Malaysia, Siti Nurshuhaini Azman bertekad untuk menggunakan pengalaman berharga diperoleh ketika kempen Piala Uber 2020 di Aarhus, Denmark pada Oktober tahun lalu dengan sebaiknya, bagi menampilkan aksi terbaik pada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022 yang bermula Selasa depan.

    Pemain berusia 18 tahun kelahiran Rawang, Selangor itu mengakui walaupun ada jurang yang besar antara beliau dan pemain terbaik dunia ketika itu, ia tidak melunturkan semangatnya untuk menimba ilmu sepanjang kejohanan berpasukan wanita dunia itu berlangsung.

    Pemain ranking ke-309 dunia yang dijangka diturunkan sebagai perseorangan wanita ketiga negara pada BATC selepas Eoon Qi Xuan dan S. Kisona berkata, beliau dijangka memerlukan kira-kira empat tahun lagi untuk menjadi antara pencabar utama di pentas kejohanan dunia.

    “Ketika di Piala Uber, saya dapat belajar daripada pemain bertaraf dunia, cara mereka bermain dan sikap dalam dan luar gelanggang.

    “Mula-mula agak gementar, tetapi saya berjaya menukarkan minda bahawa saya bermain untuk pengalaman dan seterusnya mampu memberi sedikit saingan di sana.

    “Bagi BATC, saya teruja diberi peluang dalam pasukan. Saya akan ambil peluang ini dan cuba buat yang terbaik, buktikan saya mampu beri saingan kepada pencabar lain,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara hari ini.

    Di Aarhus, Siti Nurshuhaini tewas 8-21, 3-21 kepada pemain China, He Bing Jiao, yang kini menduduki ranking kesembilan dunia, di peringkat kumpulan.

    Siti Nurshuhaini yang baru sebulan dinaikkan ‘pangkat’ ke pasukan senior kebangsaan berkata, ketinggiannya yang hanya mencecah 154cm, tidak mematahkan semangatnya untuk terus bekerja keras dalam mengejar impian menjadi antara pemain terbaik dunia.

    Malah beliau menjadikan pemain nombor satu dunia dari Taiwan, Tai Tzu-ying dan pemain nombor dua dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi, masing-masing yang hanya mempunyai ketinggian 163cm dan 156cm sebagai idolanya.

    Seorang lagi pemain perseorangan wanita Malaysia, Myisha Mohd Khairul yang teruja untuk beraksi buat kali pertama dalam kejohanan berpasukan bersama skuad senior, mahu membuktikan kemampuannya dengan menampilkan prestasi terbaiknya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...