Nurul Afiqah pandu pulang kereta vios

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu, itulah yang dialami oleh Dayang Nurul Afiqah binti Mohd Norilham, 18, apabila memenangi sebuah kereta Vios pada Cabutan Bertuah Spend & Win anjuran Digital World Enterprise dengan kerjasama NBT Brunei.

Seramai 10 orang pelanggan bertuah telah dipilih untuk menyertai cabutan bertuah berkenaan, di mana sembilan yang lain membawa pulang hadiah menarik seperti televisyen, telefon bimbit dan banyak lagi.

Hadir pada majlis yang diadakan Digital World Gadong dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Penolong Pengarah Urusan NBT Brunei, Audrey Yong.

Dayang Afiqah ketika ditemui Media Permata menyatakan rasa bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kemenangan tersebut dan merasa terkejut dan tidak menyangka akan memenangi hadiah berupa sebuah kereta.

“Saya tidak menyangka terpilih sebagai pemenang utama, bak kata pepatah memang rezeki itu tidak pernah salah alamat, cepat atau lambat rezeki itu tetap datang,” ujar beliau.

Dayang Zubaidah dan Audrey Yong melancarkan Kempen Rush to Digital World yang menawarkan sebuah kereta Toyota Rush sebagai hadiah utama.
Dayang Nurul Afiqah tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila berjaya menghidupkan enjin kereta Toyota Vios.

Majlis penyampaian hadiah berkenaan juga diselajurkan dengan pelancaran Kempen Cabutan Bertuah Rush to Digital World 2 anjuran Digital World Enterprise dan NBT Brunei bermula kelmarin hingga Mac 2021.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Audrey Yong dan Pengurus Digital World Enterprise, Dayang Zubaidah binti Zainon.

Kempen berkenaan merupakan kempen tahunan yang diadakan sebagai salah satu inisiatif kedua-dua syarikat dalam menzahirkan ucapan terima kasih kepada pelanggan yang selama ini memberikan sokongan yang berterusan.

Kempen berkenaan menawarkan pelbagai hadiah menarik terdiri daripada barangan elektronik seperti air purifier, telefon bimbit, komputer riba, televisyen dan banyak lagi.

Untuk menyertai kempen berkenaan, pelanggan yang membeli barangan elektronik bagi barangan telefon bimbit dan barangan aksesori telefon pada jumlah tertentu berpeluang menyertai kempen berkenaan.

Sepanjang kempen berkenaan, seramai 70 pelanggan bertuah akan diumumkan sebagai pemenang bulanan, iaitu seramai 10 pelanggan untuk setiap bulan sehingga bulan Mac nanti.

Cabutan 10 pemenang bertuah untuk kempen itu juga telah diumumkan hari ini dan mereka yang bertuah membawa pulang sebuah televisyen 31 inci.

Manakala 10 lagi pemenang bertuah akan diumumkan pada bulan depan.