Nurul Amal Haziqah bawa pulang $12,888

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Dayang Nurul Amal Haziqah binti Haji Mohammad Zakaria membawa pulang wang tunai berjumlah $12,888 setelah dinobatkan sebagai pemenang Kuiz ‘Win a Fabular SMS’.

Pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Bilik Pameran Setia Motors, pengedar tunggal kenderaan Hyundai di Brunei Darussalam, di Beribi, kelmarin, hadiah tempat kedua yang berupa tiket pergi balik ke Korea dengan penginapan
dan wang tunai $500 serta baucar Hua Ho bernilai $100, baucar petrol bernilai $45 dan baucar Snapfeed bernilai $200 menjadi milik Dayang Nuratikah binti Morshidi.

Wendy Chun Wei Teng pula memenangi hadiah ketiga berupa tiket pergi balik ke Korea dengan penginapan dan wang tunai $300 serta baucar Hua Ho bernilai $100, baucar petrol bernilai $45 dan baucar Snapfeed yang bernilai $200.

Di tempat keempat, Dayang Siti Adawiyah Sugara Asrul Hayati membawa pulang tiket pergi balik ke Kuala Lumpur dan wang tunai $200, telefon bimbit Nova 4, baucar Hua Ho bernilai $50, baucar petrol bernilai $45 dan baucar Snapfeed bernilai $200 serta baucar Decrepes $10.

Sementara itu, Awang Mohammed Hafiy bin Mohammd Arriffin selaku pemenang tempat kelima memenangi telefon bimbit VIVO V11i dengan wang tunai $200 dan baucar Hua Ho bernilai $50, baucar petrol bernilai $45 dan baucar Snapfeed bernilai $200 serta baucar Decrepes $10.

Gambar ramai para pemenang ‘Win a Fabular SMS Quiz’.

Hadir untuk menyampaikan hadiah-hadiah ialah Pengurus Jualan Setia Motors, Awang Fadhilah bin Sulaiman, wakil pengurusan produk bersekutu Progresif Cellular, Awang Iskandar Zulkipli, wakil dari Stesen Minyak Shahryza Bunut, Dayang Hana Ryzal, wakil Hua Ho, Richard dan Pengarah Urusan Snapfeed dan Fabular, Farah Tan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Cooltones, Haji Mohd Fawzi bin Haji Zainal Abidin.

Ketika ditemui Media Permata, Dayang Nurul Amal Haziqah mengongsikan bahawa beliau menyertai kuiz bersama suaminya, Awang Muhammad Ariffudin bin Zainal sejak Januari tahun ini.

“Sejak Januari lalu, saya dan suami saya bermain kuiz setiap hari bagi memenangi hadiah utama. Kuiz yang diberikan tidaklah begitu sukar.

“Saya berasa amat gembira apabila suami menelefon saya memberitahu bahawa kami memenangi hadiah utama Kuiz ‘Win a Fabular SMS’,” kongsinya lagi.

Ditanya mengenai perancangan bagi hadiah kemenangan itu, beliau berkata bahawa mereka belum merancang apa-apa, mungkin umrah, mungkin barang-barang perabot atau barangan anak-anak.

Promosi tersebut yang dianjurkan oleh Cooltones itu telah berjalan selama enam bulan dari September 2019 hingga Februari ini, di mana hampir 300 peserta telah menyertainya untuk merebut hadiah utama.