Nuurhayati lafaz Dua Kalimah Syahadah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Seorang perempuan berbangsa Iban telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis yang berlangsung di Bilik Al-Muhtadiin, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), hari ini.

Nuurhayati anak Jingan, 18, yang telah melafazkan ikrar pengislamannya di hadapan pegawai dari Bahagian Pengembangan Dakwah (Pengislaman), PDI, kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Atilla Sofeana Nuurhayati binti Abdul Alim Jingan.

Hadir menyaksikan majlis pengislaman berkenaan selaku tetamu kehormat ialah Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar.

Pada majlis itu, tetamu kehormat turut menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu berkenaan sebelum diserikan lagi dengan laungan Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai serta diikuti dengan bacaan Doa Selamat.

Menurut statistik PDI, bagi 2020, seramai 435 orang telah memeluk agama Islam di seluruh negara.

Atilla Sofeana Nuurhayati ketika melafazkan Dua Kalimah Syahadah di Pusat Dakwah Islamiah.