SINGAPURA, 11 FEB – The New York Times telah memadamkan video menunjukkan seorang penulis berpangkalan di Taiwan memasak ‘kari ayam Singapura’ selepas para pengkritik yang berang dari negara kota itu menyamakannya dengan kumbahan berbanding hidangan makanan tempatan.
Rakyat Singapura sememangnya amat berbangga dengan tradisi kulinarinya, yang menggabungkan pengaruh populasi etnik majmuk negara itu dan amat sensitif dengan cubaan gagal oleh orang luar untuk menonjolkan hidangan makanan mereka.
Kontroversi bermula apabila Times menyiarkan sebuah video bulan ini di akaun instagramnya, ‘nytcooking’ menunjukkan Clarissa Wei, wartawan bebas Amerika yang berpangkalan di Taipei menunjukkan cara membuat ‘kari ayam Singapura.’
Pengguna media sosial di negara itu membuak dengan kemarahan, manakala pengkritik mengatakan hasil masakan itu kelihatan seperti air longkang kotor berbanding kari autentik tempatan.
“Maaf, tetapi apakah itu? Sebagai orang Singapura, saya tidak pernah nampak sebarang versi kari ayam yang kelihatan seperti ini daripada mana-mana kumpulan etnik utama,” komen salah seorang pengguna media sosial. – AFP