Nyanyian Rossa dapat pujian YouTuber

Percubaan penyanyi Datuk Seri Rossa menyanyikan lagu dalam Bahasa Korea dianggap berjaya apabila peminat memuji cara penyampaiannya itu.

Menurut laporan Liputan6, Rossa memberitahu idea untuk menyanyikan lagu Hati Yang Kau Sakiti dalam Bahasa Korea muncul ketika dia sedang menantikan episod baharu drama Korea kegemarannya.

“Tiba-tiba rasa nak buat lirik lagu Hati Yang Kau Sakiti dalam versi Bahasa Korea sementara menunggu episod 15 dan 16 drama The World of the Married. Terus saya hubungi kawan di Seoul dan minta bantuan terjemahkan lirik lagu tersebut.

“Tak sangka video nyanyian itu jadi bualan ramai. Terima kasih yang menonton dan memuji.

“Sejujurnya, ini kali pertama saya menyanyikan lagu dalam Bahasa Korea, jadi mohon maaf kalau tak lancar,” katanya menerusi Instagram.

Bersama kapsyen tersebut, penyanyi lagu Pudar ini turut memuat naik video reaksi daripada seorang YouTuber yang memuji cara penyampaian Rossa.

“Sebutan dia sangat baik! Sekejap, rasa lagu ini seperti untuk drama The World of the Married ya,” komen pemuda berkenaan.

Video muzik lagu tersebut boleh ditonton menerusi saluran YouTube Rossa Official dan menerima lebih sejuta tontonan sejak dimuat naik pada 25 Mei lalu. – Agensi

Para peminat memuji cara penyampaian Rossa dalam menyanyikan lagu dalam Bahasa Korea. – Agensi