LABUAN, 21 SEPT – Seorang lelaki nyaris maut apabila sebatang pokok tumbang menghempap kenderaannya jenis Naza Ria susulan hujan lebat di Jalan Kampung Ganggarak kira-kira 4 petang tadi.
Ketika kejadian, lelaki itu meletakkan kenderaan pelbagai guna (MPV) itu di tepi jalan dan apabila kembali tidak lama kemudian, dia terkejut melihat kenderaannya berada di bawah pokok besar yang tumbang itu, namun bersyukur kerana terselamat.
Anggota bomba dari Balai Bomba Layang-Layangan bergegas ke tempat kejadian untuk mengalihkan pokok itu dan mengeluarkan kenderaan terbabit daripada timbunan pokok yang tumbang. – Bernama
