Nyawa Navalny dalam bahaya, perlu dipindah segera

OMSK, RUSIA, 21 OGOS – Doktor Rusia mengatakan pengkritik Kremlin Alexei Navalny tidak dapat dipindahkan dari hospital Siberia di mana dia dirawat kerana disyaki diracun, justeru nyawanya berada dalam bahaya, kata jurucakapnya hari ini.

“Ketua doktor menyatakan bahawa Navalny tidak dapat dipindahkan. Keadaannya tidak stabil,” kata Kira Yarmysh di Twitter.

“Larangan memindahkan Alexei adalah ancaman langsung terhadap nyawanya. Sangat berisiko untuk tinggal di hospital Omsk tanpa peralatan atau diagnosis.”

Yarmysh mengatakan bahawa ambulans udara yang dihantar untuk menerbangkannya ke Jerman untuk mendapatkan rawatan akan mendarat tidak lama lagi.

“Larangan memindahkan Navalny adalah percubaan untuk membunuhnya, yang dilakukan sekarang oleh doktor dan pihak berkuasa.”

Navalny, seorang peguam berusia 44 tahun dan anggota kempen anti-rasuah yang merupakan pengkritik Presiden Vladimir Putin, dimasukkan ke hospital di Omsk setelah dia tidak sedarkan diri ketika dalam penerbangan dan pesawatnya melakukan pendaratan kecemasan.

Doktor mengatakan bahawa mereka berusaha menyelamatkan nyawanya setelah dia koma dan dimasukkan ventilator di dalam rawatan intensif.

Belum ada diagnosis rasmi mengenai keadaannya, tetapi penyokongnya percaya bahawa dia diracun kerana aktiviti politiknya.

Jerman dan Perancis telah menawarkan untuk membantu dan media Jerman melaporkan bahawa ambulans udara telah meninggalkan Nuremberg untuk mengambil Navalny. – AFP

Alexander Murakhovsky bercakap kepada media di Omsk kelmarin. Doktor Rusia Alexei Navalny tidak boleh dipindahkan dari hospital Siberia di mana dia dirawat kerana membahayakan nyawanya, kata jurucakapnya. – AFP