Nynaa nafi diculik keluarga

“Untuk mengatakan ibu bapa menculik atau memaksa saya adalah telahan tidak tepat.”

Begitulah pengakuan pelakon Nynaa Harizal, 25, berhubung dakwaan suaminya, Fahmi Ilyas, 29, yang mengatakan dia dilarikan keluarga sebelum membuat tuntutan cerai.

Nynaa atau nama sebenarnya, Nurul Hanynaa Harizal berkata, dia memilih tidak mahu memberikan apa-apa komen terhadap berita yang tular demi menjaga hati dan perasaan semua pihak.

“Setiap masa saya berada dalam jagaan ibu bapa dan ahli keluarga di Johor Bahru sejak 2 November lalu.

“Saya melalui peguam syarie memfailkan Permohonan Perceraian dengan Talaq atau Perintah mengikut Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) Tahun 2003 pada 10 November lalu.

Nynaa berkata dia memilih tidak mahu memberikan apa-apa komen terhadap berita yang tular demi menjaga hati dan perasaan semua pihak. – Agensi

“Salinan sudah diserahkan kepada suami pada keesokan harinya, jam 3:16 petang, pada 11 November lalu,” kata finalis Dewi Remaja 2019 itu menerusi kenyataan selepas menghadiri sebutan permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru, jam 10:45 pagi.

Bagaimanapun, Nynaa ketika ditemui enggan mengulas berhubung punca permohonan cerai antaranya dan suami kerana ia adalah isu peribadi dan tidak mahu mengganggu prosiding mahkamah.

“Hari ini, ditetapkan untuk sebutan bagi permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru. Suami tidak hadir dan hanya diwakili oleh peguamnya.

“Sementara proses mahkamah syariah berjalan dan selagi tidak menjejaskan prosiding, saya membuka ruang untuk perbincangan dengan suami. Ini sudah dinyatakan kepada suami melalui perbualan telefon pada 12 November lalu,” katanya.

Fahmi dan Nynaa mendirikan rumah tangga pada 28 Ogos lalu dan belum dikurniakan cahaya mata. Terdahulu, Fahmi mendakwa isterinya dilarikan oleh bapanya ketika terbabit penggambaran drama dan tidak pasti di mana isterinya berada pada 3 November lalu. – Agensi