NZ batal sekatan kecuali di Auckland

WELLINGTON, 6 SEPT – New Zealand akan membatalkan pelaksanaan sekatan COVID-19 minggu ini, dan hanya pusat jangkitan di negara itu, Auckland, akan kekal melaksanakan perintah berkurung, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern hari ini.

Kira-kira tiga juta penduduk New Zealand tidak lagi dikenakan arahan berkurung di rumah bermula malam esok, dan sekolah akan dibuka semula pada Khamis ini buat pertama kali dalam tempoh tiga minggu, katanya.

Namun, katanya, Auckland yang merekodkan penularan varian Delta hujung bulan lalu, akan kekal melaksanakan perintah berkurung untuk sekurang-kurangnya seminggu lagi berikutan COVID-19 masih menular di bandar yang memiliki dua juta penduduk itu. Ardern berkata terdapat perkembangan positif dari segi penurunan kes baharu, namun varian Delta telah ‘mengubah segalanya’, menyebabkan sekatan di Auckland tidak boleh dilonggarkan terlalu awal.

“Kita melakukan yang terbaik dalam mengawal wabak ini, sekatan tahap empat (perintah berkurung ketat) berkesan, namun tugas kita masih belum selesai. Kita sudah semakin hampir untuk menghapuskan wabak ini, namun kita tidak boleh alpa,” katanya. – AFP