NZ beku aset penjenayah siber Rusia

WELLINGTON, 22 JUN – Polis New Zealand mendedahkan hari ini mereka telah membekukan aset bernilai NZ$140 juta (AS$90 juta) berkaitan dengan seorang lelaki Rusia yang dituduh terlibat dalam pengubahan wang haram bagi jenayah terancang menggunakan mata wang siber.

Polis berkata mereka bertindak selepas menemui wang kepunyaan Alexander Vinnik, yang dalam tahanan di Perancis berdepan dakwaan penipuan, telah disimpan di sebuah syarikat New Zealand.

“Dana itu kelihatannya mencerminkan keuntungan diperolehi daripada ribuan mangsa, jika tidak ratusan ribu orang di seluruh dunia akibat daripada jenayah siber dan jenayah terancang,” kata pesuruhjaya Andrew Coster.

Vinnik mengoperasi pertukaran mata wang digital BTC-e sehingga penangkapannya pada 2017 di pulau peranginan Halkidiki, utara Greece, mencetuskan pertikaian ekstradisi tiga hala antara AS, Perancis dan Rusia.

Pendakwaan AS menuduhnya sebanyak 21 dakwaan dari jarak pencurian identiti dan menyediakan kemudahan bagi pengedaran dadah hingga pengubahan wang haram.

Pihak berkuasa Perancis menuduhnya menipu lebih 100 orang di enam buah bandar, sementara dia dikehendaki di Rusia atas dakwaan penipuan ringan berjumlah 9,500 euro (AS$10,600). – AFP

Gambar fail bertarikh 13 Disember 2017 menunjukkan suspek Alexander Vinnik tiba di mahkamah agung Greece di Athens. – AP