NZ buka semula kemudahan visa untuk ibu bapa migran berkemahiran

WELLINGTON, 7 OKT – Dalam usaha memastikan sektor perniagaan boleh mendapatkan pekerja mahir yang diperlukan, kerajaan New Zealand akan membuka semula serta menambah baik kemudahan visa untuk kategori ibu dan bapa migran yang berkemahiran, kata Menteri Imigresen Iain Lees-Galloway hari ini.

Langkah itu juga membolehkan migran yang berkemahiran mengisi jurang kekosongan dan menerusi penambahbaikan, ibu bapa pekerja mahir tidak perlu mempunyai dokumen sokongan jaminan pendapatan sebagaimana diperlukan sebelum ini, katanya dalam satu kenyataan lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berkata ia juga akan membantu sektor perniagaan New Zealand mencari pekerja mahir yang diperlukan, sekali gus memperkukuh lagi ekonomi dengan membantu perniagaan berkembang maju. Program visa dengan kriteria baharu itu akan dibuka pada Februari 2020 dan dijangka memberikan kemudahan kepada 1,000 orang.

“Selama ini, migran yang mahir dan ibu bapa mereka tidak berpuas hati dengan program yang dikendalikan kerajaan terdahulu menyebabkan pemerintah ketika itu memutuskan untuk menamatkannya sejak tiga tahun lalu,” kata Lees-Galloway.

“Sebaliknya kerajaan gabungan kali ini komited untuk menarik dan mengekalkan migran yang berkemahiran tinggi,” ujarnya.

Bagaimanapun, di bawah program visa baharu itu ibu bapa masih perlu memenuhi keperluan kesihatan dan berkelakuan baik. – Bernama