NZ cari jalan tangani Delta

WELLINGTON, 22 OGOS – Kerajaan New Zealand terpaksa memikirkan strategi lain bagi menangani varian Delta berikutan pendekatan yang dilaksanakan sebelum ini gagal mengawal penularan varian tersebut.

Menteri Tindak Balas COVID-19 New Zealand, Chris Hipkins, melaporkan 21 lagi kes dalam kluster virus yang muncul di Auckland minggu lalu, mengakhiri enam bulan tanpa jangkitan tempatan sekali gus menyaksikan pelaksanaan kawalan pergerakan nasional.

Katanya, sifat virus COVID-19 varian Delta menjadikan wabak sangat mudah disebarkan dan menyukarkan pembendungannya, hingga menimbulkan ‘persoalan besar’ mengenai strategi penghapusannya.

“Skala jangkitan dan kepantasan penyebaran virus walaupun banyak persiapan baik dilakukan, mengakibatkan sistem kesihatan negara dalam keadaan tertekan,” katanya kepada TVNZ.

Kejayaan New Zealand menangani COVID-19 sebelum ini mendapat pujian meluas berikutan hanya merekodkan 26 kematian menjadi rujukan.

Hipkins berkata, penularan virus COVID-19 varian Delta membuatkan kerajaan perlu memikirkan semula strategi lain di samping menutup kawalan sempadan dan sekatan pergerakan ketat.

“Varian (Delta) tidak seperti apa yang pernah ditangani sebelum pandemik ini.

“Ia mengubah segala-galanya dan membawa makna sebagai persiapan sebelum ini sudah mula kurang mencukupi serta menimbulkan banyak persoalan besar mengenai masa depan serta rancangan jangka panjang,” katanya. – AFP

Seorang pemandu diuji swab bagi COVID-19 di sebuah klinik di Auckland, New Zealand baru-baru ini. Penularan varian Delta mengakibatkan New Zealand perlu memikirkan strategi lain menangani pandemik. – AP