MOSCOW, 20 OKT – New Zealand meluluskan bacaan ketiga Rang Undang-undang Bahasa Biasa yang dibangunkan untuk “meningkatkan keberkesanan dan akauntabiliti perkhidmatan awam dengan menetapkan komunikasi kepada orang ramai perlulah jelas dan boleh diakses,” menurut portal web perundangan New Zealand.
Akta itu mentakrifkan ‘bahasa biasa’ sebagai bahasa yang jelas, ringkas dan tersusun yang mudah difahami seseorang selepas sekali baca, lapor Sputnik.
Rang undang-undang yang diluluskan mengandungi ketetapan penggunaan bahasa biasa dalam dokumen rasmi, melantik pegawai yang bertanggungjawab untuk bahasa biasa, melaporkan pematuhan oleh agensi-agensi negeri selain Pesuruhjaya Perkhidmatan Awam menyediakan panduan yang berkaitan.
Untuk mencapai matlamat itu, kerajaan New Zealand bercadang mewajibkan latihan bahasa biasa dalam kalangan penjawat awam, menetapkan sasaran formal kepada pengurus atasan serta mewujudkan mekanisme akauntabiliti bagi badan eksekutif. Rang undang-undang itu memerlukan perkenan Diraja untuk pelaksanaan.
Ia dijangka berkuat kuasa sehari selepas prosedur itu selesai, namun penggubal undang-undang mencadangkan akta itu dikuatkuasakan enam bulan kemudian supaya institusi berkaitan dapat memastikan pematuhannya. – Bernama