‘NZ perlu bertanggungjawab’

WELLINGTON, NEW ZEALAND, 8 APRIL – Pemimpin Kepulauan Solomon berkata hari ini siasatan terhadap 27 penumpang yang maut selepas bot penuh sesak yang mereka naiki karam di laut minggu lalu sedang dijalankan.

Namun di sebalik insiden tersebut, beberapa pihak berkata bahawa kerajaan negara itu perlu bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan selepas kerajaan mengumumkan orang ramai untuk meninggalkan ibu negara dan kembali ke kepulauan mereka berikutan dengan sebarang kemungkinan akan berlakunya perintah berkurung.

Kapal MV Taimareho meninggalkan Honiara pada petang 2 April apabila taufan tropika sedang menghampiri. Selepas itu, Taufan Harold pula membadai perairan Pasifik Selatan, melewati beberapa pulau minggu ini.

Di Kepulauan Solomon, kru menemui tujuh mayat yang tersadai di lautan. Pihak berkuasa mengatakan bahawa antara mereka yang meninggal ialah lelaki berusia 13 tahun.

Setakat ini tiada siapa di Kepulauan Solomon, yang mempunyai penduduk 700,000, telah diuji positif untuk COVID-19. Perdana Menteri, Manasseh Sogavare, berkata beliau telah bertemu dengan saudara-mara mereka yang meninggal dunia dalam tragedi yang tidak dapat dibayangkan itu.

Pejabatnya berkata mereka gembira kerana pengendali perkapalan membantu orang ramai pulang ke rumah masing-masing sebagai tindak balas terhadap langkah mengekang koronavirus.

“Bagaimanapun, keputusan dasar kerajaan adalah untuk menyelamatkan dan tidak membahayakan nyawa,” kata pejabat itu dalam satu kenyataan.

“Pertama, kenapa kapal itu berlayar ketika adanya amaran cuaca menasihatkan semua kapal tentang kemungkinan berlakunya taufan Harold?” kata kenyataan itu. “Kedua, mengapa kapal itu dibenarkan memuatkan lebih dari dua kali ganda kapasiti penumpang berlesen?”

Tetapi bekas timbalan ketua provinsi berkata orang ramai telah pulang ke pulau-pulau mereka dalam bilangan yang ramai. “Pertama, mereka pulang ke rumah bukan kerana pilihan mereka sendiri tetapi kerana nasihat kerajaan,” kata Star Dora kepada akhbar Solomon Star. “Dan kedua, kerajaan sendiri juga menyewa bot itu.” – AP