NZ rekod kes tertinggi COVID-19

WELLINGTON, 19 OKT – New Zealand hari ini mencatat kes COVID-19 tertinggi sejak pandemik itu bermula, sekali gus meranapkan harapan mencapai ‘Sifar COVID’.

Penguat kuasa kesihatan mengumumkan 94 kes baharu, dengan tiada tanda-tanda menunjukkan jangkitan akan reda akibat penularan varian Delta. Ia melebihi rekod harian sebelumnya, sebanyak 89 kes pada April tahun lalu, ketika gelombang pertama jangkitan wabak itu.

Walaupun mencatatkan kes yang rendah berbanding standard negara lain, jangkitan semakin meningkat sejak varian Delta pertama kali dikesan di New Zealand pada pertengahan Ogos lalu.

Jangkitan yang berpusat di Auckland itu memaksa Perdana Menteri, Jacinda Ardern, menggugurkan dasar utamanya dalam menghapuskan virus supaya usaha vaksinasi terus dipertingkatkan. Beliau dijangka melancarkan strategi baharu pada Jumaat ini bagi kebebasan lebih meluas, apabila sasaran vaksinasi tercapai, di mana ketika ini dua pertiga penduduk yang layak sudah divaksinasi sepenuhnya.

“Kita tahu vaksinasi sudah memberi kesan yang berbeza terhadap jangkitan di Auckland tetapi orang ramai juga perlu mengikut peraturan,” kata Arden kepada pemberita. – AFP

Orang ramai mengunjungi pusat vaksinasi bergerak di pinggir bandar Auckland, New Zealand ketika negara itu melaporkan kes tinggi COVID-19 akibat varian Delta. –AP