NZ sambut pelancong April depan

WELLINGTON, 24 NOV – Penduduk New Zealand yang sudah lengkap divaksin akan dibenarkan pulang dengan syarat lebih mudah mulai Januari 2022, diikuti warga asing pada April dan seterusnya, selepas kerajaan menghapuskan keperluan kuarantin dan pengasingan (MIQ) untuk kebanyakan pengembara, kata Menteri Tindakan COVID-19 Chris Hipkins hari ini, lapor Xinhua.

Warganegara yang divaksin sepenuhnya dan pengembara lain yang layak boleh memasuki New Zealand dari Australia tanpa perlu menjalani MIQ mulai 11:59 malam waktu tempatan pada 16 Januari 2022, menurut rancangan yang diumumkan oleh Hipkins pada sidang akhbar.

Sempadan juga akan dibuka kepada rakyatnya dan pengembara lain yang layak dari semua negara lain mulai 11:59 malam waktu tempatan pada 13 Februari 2022, jelas Hipkins, sambil menambah semua individu yang lengkap divaksin boleh melakukan perjalanan ke New Zealand mulai 30 April 2022 dan seterusnya, dengan pembukaan semula sempadan negara secara berperingkat.

Menurut beliau, dasar MIQ digantikan dengan kuarantin diri mandatori tujuh hari.

Bagaimanapun, pengembara masih perlu menunjukkan keputusan negatif bagi saringan yang dibuat sebelum berlepas, bukti telah divaksin sepenuhnya, pengisytiharan sejarah perjalanan, ujian 0/1 hari semasa ketibaan, keperluan untuk melakukan kuarantin kendiri selama tujuh hari, dan ujian akhir yang negatif sebelum menyertai komuniti, mengikut strategi pembukaan semula kerajaan. – Bernama