NZ tamatkan perintah berkurung bulan depan

WELLINGTON, 22 NOV – New Zealand bercadang menamatkan perintah berkurung tiga bulan setengah di bandar terbesar, Auckland awal bulan depan, ketika ia mengambil pendekatan baharu strategi pengawalan koronavirus, kata Perdana Menteri, Jacinda Ardern hari ini.

Menurut Ardern, bermula jam 11:59 malam pada 2 Disember, New Zealand akan mengambil pendekatan langkah baharu COVID-19 – pertama kali dirangka bulan lalu – yang menyasarkan mengekang penularan varian Delta yang mudah berjangkit, berbanding cuba menghapuskannya sama sekali.

“Ia kebenaran yang pahit, tetapi Delta sudah berada di sini dan sukar dibasmi,” katanya memberitahu wartawan. “Sementara tiada negara berjaya menghapuskan Delta secara menyeluruh, New Zealand berada pada kedudukan lebih baik berbanding yang lain untuk menanganinya.”

Langkah koronavirus Ardern setakat ini adalah berusaha mencapai ‘Sifar COVID’ melalui perintah berkurung ketat, pengesanan kontak pantas dan pengawalan sempadan lebih ketat. Beliau berdepan tekanan meningkat untuk menamatkan perintah berkurung, meskipun pada asalnya mahu melaksanakan sistem baharu apabila negara dengan populasi lima juta itu mencecah kadar vaksinasi 90 peratus. Namun beliau mengubah pembukaan semula pada 2 Disember meskipun kadar vaksinasi baru mencecah 83 peratus. – AFP