NZ tambah kawalan sempadan

NEW ZEALAND, 17 JUN – Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengarahkan pasukan tentera mengawasi kawalan sempadan negara selepas dua individu meninggalkan kawasan kuarantin.

Selepas 24 hari tanpa kes baharu, semalam kes membabitkan dua wanita yang tiba dari Britain dibenarkan bebas tanpa kuarantin awal, tanpa sebarang ujian, meskipun mempunyai simptom ringan.

Dua pasangan itu terbukti dijangkiti selepas ujian swab dibuat dan mereka telah melakukan perjalanan sejauh 650 kilometer dari Auckland ke Wellington untuk menziarahi saudara yang sakit.

Ardern berkata, perbuatan itu ‘tidak boleh diterima sama sekali’ apabila mereka tidak diuji awal dan kawalan sempadan perlu diperkasakan bagi mencegah kesilapan itu berulang.

Beliau melantik Timbalan Ketua Pertahanan, Digby Webb untuk mengawasi operasi kuarantin di sempadan dan diberikan akses pegawai tentera serta pakar logistik.

“Pandangan saya ialah, apabila kita perlu bertegas, kita perlu keyakinan dan disiplin yang mana pasukan tentera mampu melaksanakannya,” kata Ardern kepada wartawan.

Menteri Kesihatan, David Clark memahami kemarahan itu dan berkata, rakyat New Zealand melakukan pengorbanan yang hebat untuk berada di tahap ini.

“Sistem kami sudah mempamerkan perkara yang hebat di seluruh New Zealand. Kita sudah berjaya menghalang COVID-19, oleh itu saya mahu perkara ini diatasi segera,” katanya. – AFP