NZ tangguh pilihan raya, sekat rumah jagaan

AUCKLAND, 12 OGOS – New Zealand mengenakan perintah berkurung terhadap rumah jagaan di seluruh negara hari ini selepas jangkitan sifar selama 102 hari COVID-19 berakhir, dengan Perdana Menteri Jacinda Ardern mengatakan wabak itu mungkin memaksanya untuk menangguhkan pilihan raya umum bulan depan.

Ardern berkata, pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengesan sesiapa yang mempunyai kontak dengan empat penduduk Auckland yang diuji positif COVID-19 semalam, mengakhiri impian untuk rekod cemerlang di mana virus itu berjaya dibendung di sempadan New Zealand.

Perintah tiga hari tinggal di rumah untuk Auckland, bandar terbesar di New Zealand dengan jumlah penduduk 1.5 juta, diumumkan pada malam tadi dan mula berkuat kuasa pada waktu makan tengah hari ini.

Polis memakai penutup mulut dan hidung melakukan sekatan jalan raya di jalan-jalan utama Auckland untuk menguatkuasakan langkah-langkah baharu.

Ardern berkata, pegawai kesihatan juga mengenakan perintah berkurung terhadap rumah jagaan warga tua di seluruh negara kerana ia boleh bertindak sebagai lokasi utama penyebaran virus.

Penduduk berbaris panjang di luar sebuah pasar raya di pinggir bandar Auckland kerana pembelian panik akibat koronavirus yang muncul semula di New Zealand. – AFP

“Saya menyedari betapa sukarnya situasi ini bagi mereka yang mempunyai orang tersayang di kemudahan ini, tetapi ini adalah kaedah terbaik untuk melindungi dan menjaganya,” katanya.

Terdapat pembelian panik di pasar raya di seluruh New Zealand dan orang ramai berbaris panjang di stesen ujian COVID-19 ketika negara itu Kiwi berdepan dengan kemunculan semula virus disangka telah dikalahkannya.

New Zealand dianggap oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai contoh bagaimana membendung penyakit itu selepas mencatat hanya 22 kematian dalam kalangan lima juta penduduknya dan mencegah penularan dalam kalangan masyarakat selama lebih tiga bulan.

Menurut Ardern, kembalinya COVID-19 ‘tidak menyenangkan’ tetapi semua usaha sedang dilakukan untuk menjejaki kembali pergerakan keluarga empat orang di Auckland yang dijangkiti virus itu dari sumber yang tidak diketahui.

Beliau berkata, pilihan raya pada 19 September mungkin akan terjejas jika wabak itu tidak dapat dibendung.

“Kami ingin meminta nasihat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya, supaya kami dapat memastikan bahawa semua pilihan terbuka untuk kami,” katanya. – AFP