Tuesday, March 25, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Oak Leaf Fern, spesis daun penumpang

    LEBIH dikenali sebagai ‘Oak Leaf Fern’ berikutan daripada bentuk daunnya yang seakan-akan daun pokok oak yang terdapat di negara barat. Ia adalah spesis Drynaria quercifolia daripada keluarga tumbuhan Polypodiaceae yang juga cantik untuk dijadikan tanaman hiasan yang menarik.

    Pokok ini boleh dilihat tumbuh meliar menumpang pada batang pokok lain dalam hutan di negara kita. Ia juga sering dilihat tumbuh pada batang pokok getah dan juga batang kelapa sawit. Keunikan pokok paku liar ini terletak pada dua jenis daunnya.

    Terdapat daun-daun yang membentuk seperti sarang burung di bahagian bawah pokoknya agar dapat memerangkap nutrien dari reputan daun dan sebagainya serta air hujan.

    Manakala jenis daun kedua yang membentuk seperti jejari itu akan memerangkap sinaran matahari untuk memproses makanannya melalui proses fotosintesis.

    Selain itu, ia juga dikatakan tumbuh meliar di negara lain seperti Republik Singapura, Indochina dan Australia yang beriklim tropika.

    Pokok oak leaf fern boleh dilihat tumbuh meliar menumpang pada batang pokok lain dalam hutan
    Pokok oak leaf fern boleh dilihat tumbuh meliar menumpang pada batang pokok lain dalam hutan

    Pembiakan

    Spesis ini mudah dibiakkan dengan menggunakan kaedah keratan batangnya yang berdaun.

    Untuk memudahkan pokoknya tumbuh gunakan medium tanaman sama ada lumut Sphagnum moss atau serat kelapa yang telah disiat halus untuk diikat di sekeliling batang pokok paku ini.

    Penanaman

    Langkah penanaman pokok Oak Leaf Fern dimulakan dengan memotong keratan pokoknya yang berdaun dan pastikan terdapat akar yang masih terlekat pada bahagian batangnya.

    Letakkan campuran medium tanaman tersebut di sekeliling batangnya dan ikat kuat agar ia tidak mudah tanggal.

    Seterusnya ikat pada batang kayu seperti pertumbuhan di alam semula jadinya.

    Namun pokok ini juga boleh ditanam dalam medium tanaman untuk pokok berpasu iaitu dalam nisbah 3:2:1 yang terdiri daripada tanah peroi, bahan organik, pasir sungai dan air siraman mudah mengalir keluar.

    Penjagaan

    Spesis ini tidak sesuai untuk didedahkan kepada cahaya matahari terik kerana keadaan itu tidak sesuai untuk pertumbuhannya yang boleh menyebabkan daunnya mudah terbakar. Sebaliknya pamerkan tanaman ini di bawah keadaan separuh teduh dari terik cahaya matahari.

    Ia sukakan kepada keadaan kelembapan yang sederhana. Siram terus ke bahagian sistem akarnya agar medium tanamannya sentiasa lembap.

    Di samping itu, ia tidak memerlukan pembajaan kerana di habitat semula jadinya, pokok ini mendapat nutriennya daripada reputan daun dan sebagainya.

    Bagi tanaman di kediaman adalah disyorkan bagi anda untuk menggunakan baja cecair dilarutkan dalam air siraman atau semburan.

    Pada dasarnya, ia adalah pokok cantik dan menarik untuk dijadikan sebagai bahan hiasan dalaman kediaman.

    Sembur daunnya bagi mengekalkan kelembapan terutama pada hari panas terik untuk pertumbuhan pokok yang lebih subur dan menarik.

    Idea pameran

    Tumbuhan ‘Oak Leaf Fern’ ini lebih sesuai untuk ditanam sebagai pokok spesimen atau pokok solo.

    Ia boleh dilekatkan pada batang kayu seperti di alam semula jadinya dan ditanam dalam pasu yang cantik bagi menyerlahkan lagi penampilannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda