WASHINGTON, 20 Jan – Presiden Barack Obama (gambar), semalam meringankan hukuman 330 pesalah kebanyakannya membabitkan kes dadah, sehari sebelum beliau meninggalkan Rumah Putih.
Keputusan itu adalah yang kedua minggu ini, selepas baru-baru ini, beliau mengejutkan pelbagai pihak apabila mengurangkan tempoh hukuman penjara 35 tahun ke atas prebet Chelsea Manning, yang didapati bersalah menyerahkan dokumen sulit milik AS kepada WikiLeaks.
Manning yang sepatutnya menjalani hukuman penjara hingga 2045, dijangka dibebaskan Mei ini. Selasa lalu, Obama turut memberi pengampunan kepada 64 pesalah, termasuk bekas jeneral yang menganggotai kumpulan keselamatannya, selain meringankan hukuman 208 tahanan.
Pengumuman semalam menjadikan jumlah pesalah yang diberi pengurangan hukuman kepada 1,715 orang. Beliau sudah membebaskan seramai 568 banduan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Kebanyakannya membabitkan banduan dengan kesalahan kecil dadah. Obama sebelum ini berusaha memperbaiki ketidakadilan sistem kehakiman dan mahu hukuman alternatif dijatuhkan bagi kesalahan kecil.
Namun, usahanya itu gagal mendapat kelulusan Kongres. Ketika ini, lebih 2.2 juta rakyat menjalani hukuman penjara di seluruh AS, termasuk pesakit mental dan penagih dadah, kebanyakannya kumpulan minoriti.
Sejak beberapa minggu lalu, Jabatan Kehakiman giat menyemak semula semua permohonan bagi mendapatkan hukuman yang lebih ringan. – AFP

































