WASHINGTON, 5 Mei – Bekas presiden Barack Obama, menyatakan sokongannya terhadap Emmanuel Macron dalam saingan merebut jawatan Presiden Perancis.
Macron mendedahkan mengenai sokongan Obama itu dalam satu video yang disiarkan, semalam.
“Saya mengagumi cara kempen yang dijalankan oleh Emmanuel Macron. Beliau sentiasa berpegang kepada nilai liberal, selain berpegang kepada misi mengenai pentingnya bagi Perancis memainkan peranan di Eropah dan seluruh dunia.
“Beliau juga komited untuk mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk rakyat Perancis. “Beliau merayu dengan memberi harapan kepada rakyat dan bukannya dengan menakutkan mereka,” katanya.
Macron berdepan dengan calon nasionalis, Marine Le Pen, pada pusingan kedua pengundian, Ahad ini. Hasil tinjauan menunjukkan Macron sedang mendahului saingan.
Dalam pada itu, Obama berkata, beliau tidak bercadang untuk sering membabitkan diri dalam situasi politik.
“Saya tidak merancang untuk membabitkan diri dalam mana-mana pilihan raya kerana saya tidak perlu lagi bertanding.
“Tetapi pilihan raya Perancis amat penting bagi masa depan negara itu. Jadi, kita perlu ambil tahu kerana kejayaan Perancis amat penting bagi seluruh dunia,” katanya. – AP