OBIC miliki 50% bahagian GC

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Syarikat Pelaburan Oman Brunei (OBIC) berjaya mendapatkan sebanyak 50 peratus bahagian Golden Corporation Sdn Bhd (GC), sehubungan itu, Majlis Penandatanganan Perjanjian antara OBIC dan GC telah berlangsung di Kedutaan Kesultanan Oman di Negara Brunei Darussalam, hari ini.

Pada majlis itu, menandatangani bagi pihak OBIC ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Fathi Al Balushi dan bagi pihak GC ialah Pengarah Urusan, Richard Chuang Hsi Shan.

Hadir pada majlis itu dan menyaksikan penandatanganan perjanjian berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong; Duta Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al Maskari; dan Pemangku Pengarah Urusan Brunei Investment Agency (BIA) dan Pengerusi OBIC, Haji Sofian bin Haji Mohammad Jani.

Haji Sofian dipetik menyatakan tahniah kepada OBIC dan GC atas perjanjian yang dimeterai di mana ia akan memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak dan mengukuhkan lagi hubungan kerjasama di antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman dalam bidang pelaburan serta bidang-bidang lain yang berkaitan.

Beliau turut menyatakan kegembiraan atas perjanjian dengan GC di mana ia menunjukkan keupayaan OBIC untuk mempelbagaikan, mengembangkan dan menjana sumber baharu pendapatan jangka panjang serta pada masa yang sama, mempromosikan Oman dan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa perjanjian dengan GC itu merupakan yang pertama bagi lebih banyak projek pelaburan OBIC di Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, mengulas mengenai dengan perjanjian berkenaan, Fathi Al Balushi dipetik menyatakan bahawa OBIC amat teruja dalam mendapatkan sebanyak 50 peratus bahagian dalam GC yang merupakan perintis dalam pembangunan industri akuakultur Brunei.

Beliau menyatakan lagi bahawa tumpuan OBIC adalah untuk mendapatkan bahagian strategik dalam projek-projek baharu dan syarikat-syarikat yang sedang beroperasi menerusi penyertaan langsung serta pelaburan usaha sama yang membawa kepada penjanaan portfolio yang pelbagai merentas sektor-sektor penting ekonomi dan industri.

Beliau menyatakan perasaan gembira di mana perjanjian dengan GC telah menyaksikan pelaburan pertama OBIC di Negara Brunei Darussalam di mana ia merupakan satu mercu tanda baharu bagi syarikat berkenaan kerana ia merupakan pelaburan pertama mereka dalam sektor makanan dan minuman.

Fathi Al Balushi juga menyatakan bahawa pelaburan awal OBIC adalah di dalam Kesultanan Oman namun begitu aspirasi pengurusan OBIC ialah untuk melabur ke dalam Negara Brunei Darussalam dan untuk mengenal pasti peluang-peluang pelaburan yang bersesuaian yang selaras dengan strategi dana berkenaan.

OBIC juga berharap untuk meneroka sektor dan segmen pasaran yang baharu dalam kedua-dua buah negara dengan pendidikan, pertanian, makanan dan perkhidmatan dikenal pasti sebagai sasaran.

Manakala itu, Richard Chuang menyatakan perasaan gembira atas kerjasama dengan OBIC dan berharap kerjasama itu akan memastikan bahawa GC akan terus memberikan tumpuan dan komited sepenuhnya kepada kecemerlangan khususnya setelah syarikat berkenaan telah dianugerahkan sijil standard tempatan dan antarabangsa iaitu ISO22000:2005, HACCP, Organic Certification, British Retail Consortium Certification, International Featured Standard Certification dan Brunei Halal Certification.

Richard Chuang (depan, kiri) dan Fathi Al Balushi (depan, kanan) menandatangani perjanjian yang disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali, TYT Ahmed bin Hashil Al-Maskari dan Haji Sofian (kiri).