OBIC tingkat modal AS$100 juta

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Dana Rizab Kerajaan Am (SGRF) Kesultanan Oman dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA) telah bersetuju untuk meningkatkan modal Syarikat Pelaburan Oman Brunei (OBIC) sebanyak AS$100 juta dengan membawa jumlah keseluruhan modal syarikat itu kepada AS$200 juta.

Persetujuan itu telah ditandatangani semasa Mesyuarat Rundingan Dua Hala (BCM) ke-19 yang berlangsung antara Kementerian Hal Luar Negeri Kesultanan Oman dan Brunei Darussalam di Muscat pada 9 Disember.

Menandatangani bagi pihak SGRF ialah Presiden Eksekutif, Abdulsalam Mohammed Al Murshidi sementara bagi pihak BIA ialah Pemangku Pengarah Urusan BIA dan Pengerusi OBIC, Awang Sofian bin Mohammad Jani.

Hadir menyaksikan majlis penandatanganan itu ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Setiausaha Agung Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Oman, Sayyid Badr bin Hamad bin Hamood Al-Busaidi; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil bin Rashid Al-Maskari; dan Duta Brunei Darussalam ke Kesultanan Oman, TYT Haji Sulaini bin Haji Said.

Dalam kenyataan yang diterima dari Kedutaan Kesultanan Oman, hari ini, Abdulsalam Mohammed Al Murshidi mengatakan OBIC telah melabur dalam sembilan projek di Kesultanan Oman sejak penubuhannya 10 tahun lalu antaranya projek Hotel Kempinski terletak di Al Mouj-Muscat, Hospital European yang pada masa ini dibina di Al Ghubra, loji penyahgaraman di Sohar serta projek-projek lain, malah syarikat itu juga berjaya mengaut keuntungan daripada tiga pelaburan lain setakat ini.

“Tahun ini kami gembira yang OBIC telah memperoleh 50 peratus perkongsian dalam Golden Corporation Sdn Bhd (GC), sebuah syarikat yang mengkhusus dalam penternakan ikan, dalam memberikan produk makanan laut berkualiti tinggi yang berpangkalan di Brunei Darussalam. Ia adalah pelaburan pertama OBIC di Brunei,” ujarnya.

Sementara itu, Awang Sofian dalam kenyataan itu turut menyatakan gembira dengan kerjasama antara SGRF dan BIA dan dengan adanya penandatanganan itu, kerjasama dua hala akan menjadi bertambah baik dalam bidang pelaburan dan bidang berkaitan.

Awang Sofian juga memuji kejayaan pelaburan OBIC sedekad yang lalu dan optimis yang syarikat itu akan terus menjayakan peluang-peluang perniagaan dalam pasaran tempatan kedua-dua buah negara, untuk meningkatkan perkembangan ekonomi di Oman dan Brunei serta menyumbang kepada rancangan kepelbagaian ekonomi dua negara bersahabat itu.

OBIC adalah syarikat ekuiti swasta yang dimodalkan bersama oleh SGRF Oman (50 peratus) dan BIA (50 peratus).

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan menyaksikan majlis penandatanganan antara SGRF dan BIA. – Gambar oleh Kedutaan Kesultanan Oman