Obses terhadap kecantikan lumut

SAKUHO, Jepun – Kaori Shibo kelihatan membongkok dan memerhatikan sebuah pokok menerusi kaca pembesar di dalam hutan di tengah Jepun dengan perasaan yang menyeronokkan. Objek kegemarannya? Lumut.

“Oh, anak sporofit keluar! Saya tidak pernah melihatnya sebelum ini,” Shibo, 41 tahun yang terpesona sambil menjerit dan kepalanya cukup dekat untuk mencium balak dari pokok tumbang di hutan Yatsugatake.

Dia keluar berjalan-jalan bersama kira-kira 20 orang lainnya, sebahagian daripada masyarakat yang semakin bertambah di Jepun yang obses dengan tumbuhan dikenali sebagai bryophyta, termasuklah lumut.

“Apabila anda merenung pada tumbuhan hijau yang begitu kecil, anda mendapati dunia berkembang luas dari situ,” jelas Masami Miyazaki, rakannya yang juga penggemar lumut.

“Ia seperti alam semesta mikro,” kata Masami Miyazaki, 42 tahun.

Di banjaran gunung Yatsugatake sahaja, lebih 500 jenis lumut boleh diperhatikan, menurut Masanobu Higuchi, pakar briologi terkenal di Jepun dan juga ketua pengembaraan berjalan kaki. – AFP

Kumpulan itu keluar meneroka beberapa hari sebelum musim hujan di Jepun, di mana cuaca kelihatan begitu baik bagi ekspedisi untuk melihat pelbagai jenis lumut seperti lumut hati, lumut tanduk dan lumut kerak yang begitu padat membaluti pokok-pokok hutan dan juga batu besar.

Hutan itu, yang mengelilingi tasik Shirakomanoike dan terbentang di seluruh utara banjaran gunung Yatsugatake, adalah tempat popular bagi para penggemar tumbuhan mikro.

Di banjaran gunung Yatsugatake sahaja, lebih 500 jenis tumbuhan boleh diperhatikan, menurut Masanobu Higuchi, pakar briologi terkenal di Jepun dan juga ketua pengembaraan berjalan kaki.

Shibo berkata “Saya tergila-gilakan lumut, bukan kerana bentuk dan warnanya yang cantik.”

“Saya terbawa-bawa oleh sebab ia boleh ditemui di mana-mana di sekitar kita, namun tidak pernah menyedari betapa indahnya tumbuhan tersebut.”

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penggemar lumut di Jepun kian meningkat, dengan pengembaraan berjalan kaki memenuhi keinginan mereka untuk melihat pelbagai jenis tumbuhan dan kedai-kedai yang menjual tumbuhan di dalam terarium yang begitu sesuai bagi rumah kecil di Jepun.

Persatuan Lumut Utara Yatsugatake mula menganjurkan pengembaraan berjalan kaki melihat lumut dalam tahun 2011, yang menarik minat kira-kira 40 orang dalam tempoh tahun itu.

Namun tahun ini, 140 orang menyertai pengembaraan berjalan kaki persatuan ini, yang diadakan setiap bulan hingga Oktober, dengan permintaan melebihi bilangan tempat yang ada. Lumut begitu popular di kalangan pekebun-pekebun Jepun tradisional selama berabad-abad lamanya dan ia tumbuh dengan subur dalam cuaca lembap negara itu.

“Landskap cantik semula jadi yang menarik dan padat, itu adalah intipati taman-taman Jepun,” ujar Chiso Shigemori, seorang pereka terkenal taman Jepun.

Bercakap kepada AFP di taman Jepun yang dijaga elok di kuil Tofukuji, Kyoto, katanya, lumut dianggap tumbuhan terbaik yang menutupi tanah bagi persekitaran tradisional seumpama itu kerana ia membantu mereplika landskap semula jadi dalam bentuk miniatur.

Dia berkata “landskap gunung-gunung dan kepadatan kehijauan yang berbeza kesemuanya boleh dilahirkan oleh lumut.”

Persatuan Lumut Utara Yatsugatake mula menganjurkan pengembaraan berjalan kaki melihat lumut dalam tahun 2011, yang menarik minat kira-kira 40 orang dalam tempoh tahun itu. – AFP
Seorang wanita warga Jepun melihat lumut melalui kaca pembesar semasa lawatan menjelajah lumut di hutan Kita-Yatsugatake. – AFP
Seorang pelawat kelihatan menyentuh lumut semasa lawatannya ke hutan Kita-Yatsugatake, berhampiran bandar Sakuho, wilayah Nagano. – AFP

Di kuil itu, kebanyakan taman ditutupi oleh pokok-pokok renek dikenali sebagai ‘sugi-goke’ atau lumut pokok araz dalam Bahasa Jepun.

Batang runcing menyerupai pokok araz miniatur dan lumut sangat popular dengan pereka-pereka taman Jepun. Sementara lumut adalah kepuasan estetik semata-mata bagi sesetengah orang Jepun, bagi yang lain ia juga perniagaan besar.

Nama jolokan ‘Moss King,’ Oichi Kiyomura, 64 tahun, kebanyakan harinya menghabiskan masa meredah belukar-belukar liar, di lereng-lereng dan malah di cenuram, mencari lumut yang boleh dicedok ke dalam dulang dan dijual kepada para penggemar.

Jauh sangat dari karier yang pernah diceburinya, menjalankan perniagaan kelab malam, tetapi Kiyomura yang tinggal di pergunungan Nikko, utara Tokyo berkata perniagaan lumut begitu menguntungkan.

Ujarnya dia meraih sekurang-kurangnya 30 juta yen setahun, dengan membayangkan itu adalah anggaran sederhana. Perubahan haluan kepada lumut bagi dirinya muncul pada satu hari apabila dia keluar memetik cendawan bersama seorang rakan. “Itu adalah sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan, tetapi saya menemukan komuniti lumut yang amat cantik, berumpun dalam bentuk kubah-kubah kecil. Itu adalah pertemuan kali pertama saya dengan lumut,” menurutnya.

Itu adalah jenis yang dikenali di sini sebagai ‘arahshiragagoke,’ popular di kalangan para pekebun bonsai bagi mendapatkan daun yang sangat baik seperti sutera.

“Saya berpendapat orang akan berminat dengan sesuatu yang sangat cantik bila saya mula menjualnya.”

Dia telah membeli lot-lot tanah yang luas, termasuklah yang bersebelahan padang golf yang ditinggalkan apabila ekonomi Jepun mengalami kejatuhan dan mula mengumpul tumbuhan mikro. Dia kini menjualnya ke kuil-kuil, pereka-pereka taman tradisional, pekebun bonsai dan penggemar-penggemar terarium.

Kiyomura mengakui sesetengah pengkritik mendapati lumut tidak menarik, namun dia mempertahankan obsesinya pada tumbuhan itu.

“Saya sangat sukakan lumut, malah lebih daripada wanita,” dia berseloroh. “Saya akan hidup bersamanya meskipun jika tidak ada sesiapa pun lagi mengambil berat tentangnya.” – AFP