Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    OCS diseru tingkatkan portfolio, pengiktirafan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Sekolah Pegawai Kadet (OCS), Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB) kini sudah mampu untuk menerima kemasukan pegawai-pegawai kadet dari negara-negara sahabat khususnya di rantau ini, bagi mengikuti latihan pegawai kadet di Negara Brunei Darussalam.

    Ini bukan sahaja dapat meningkatkan lagi hubungan diplomasi pertahanan yang sedia ada malah menaikkan portfolio dan pengiktirafan OCS AP ABDB, khasnya dan ABDB, amnya, di peringkat serantau dan antarabangsa.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekan perkara itu semasa bertitah pada Upacara Sovereign’s Parade OCS AP ABDB Pengambilan ke-20 di Padang Kawad AP ABDB di Kampung Tanah Jambu, hari ini.

    Baginda bertitah lagi bahawa OCS AP ABDB merupakan wadah penting dalam membentuk sahsiah pegawai tentera dalam ABDB.

    “Oleh itu, bagi Sekolah Pegawai Kadet ini, mustahaklah ia sentiasa relevan untuk melahirkan barisan pemimpin ABDB yang berkualiti, di samping menitik beratkan latihan ketenteraan dan kepimpinan, Sekolah Pegawai Kadet juga perlu menekankan penerapan kerohanian supaya pegawai-pegawai tentera mempunyai disiplin yang teguh bercirikan nilai-nilai teras Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan falsafah Melayu Islam Beraja.”

    “Dengan kelahiran terbaharu, 81 orang pegawai pada hari ini, Alhamdulillah, Sekolah Pegawai Kadet telah berjaya menghasilkan seramai 606 orang para pegawai tentera daripada 20 pengambilan.”

    Baginda seterusnya bertitah merakamkan penghargaan atas sumbangan dan komitmen ABDB selaku sebuah institusi pertahanan negara yang sentiasa siap siaga menunaikan amanah menjaga keselamatan dan keamanan negara.

    “Ini terbukti bila mana ABDB bersama-sama dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan telah memainkan peranan utama dalam menangani penularan COVID-19.

    “Beta berharap usaha yang terpuji seperti ini akan dapat disumbangkan secara berterusan.”

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan Anugerah Pedang Kehormatan kepada Pegawai Kadet Awangku Mohammad Qamarussalihin.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa Upacara Sovereign’s Parade OCS Akademi Pertahanan ABDB Pengambilan ke-20.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...