PETALING JAYA, 5 JAN – Bekas Pengarah Teknikal ‘All India Football Federation’ (AIFF), Scott O’Donell, 54, dilantik sebagai Pengarah Teknikal baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dengan kontrak selama tiga tahun berkuat kuasa hari ini.
O’Donell akan menggantikan Datuk Ong Kim Swee, yang mengumumkan peletakan jawatan pada September lepas setelah menerima tawaran sebagai ketua jurulatih pasukan Liga Super Sabah FC. Kim Swee dilantik sebagai Pengarah Teknikal FAM pada 1 Januari 2021.
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar ketika mengumumkan pelantikan itu, berkata tenaga pengajar FIFA kelahiran Sydney, Australia itu, dipilih berdasarkan pengetahuannya dalam arena bola sepak Asia Tenggara, dan kelayakan yang dimilikinya.
“Sudah pasti beliau calon yang terbaik bagi jawatan ini, dengan kelayakan tinggi yang dimilikinya sebagai pengajar kejurulatihan FIFA.
“Beliau juga memahami dengan situasi bola sepak di Asia Tenggara dengan pengalaman beraksi bersama Kuala Lumpur dan dalam bidang kejurulatihan di Singapura dan Kemboja,” katanya pada sidang media mengumumkan pelantikan itu.
O’Donell yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal Capital Football, iaitu badan induk bola sepak wanita di ibu negara Australia, Canberra, sejak 2017, telah melepaskan jawatan itu pada November lepas. – Bernama