OECD: Ekonomi global diramal pulih 2021

PARIS, 1 DIS – Ekonomi dunia akan pulih kepada tahap sebelum pandemik menjelang akhir tahun depan, ramal badan pemerhati global hari ini, walaupun pemulihan adalah tidak sama rata di seluruh negara dan risiko besar tetap wujud.

Dalam laporan mengenai ekonomi, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) berkata perkembangan mengenai vaksin koronavirus bermakna prospek telah meningkat untuk kali pertama sejak pandemik bermula.

“Masa depan adalah lebih cerah, namun mencabar,” tulis Laurence Boone, ketua ahli ekonomi di OECD, dalam laporan.

Ia meramalkan ekonomi global akan menguncup kira-kira 4.2 peratus pada tahun ini dan berpulih pada kadar yang sama pada 2021 sebelum diunjurkan tumbuh 3.7 peratus pada tahun berikutnya.

China, yang telah mengawal jangkitan virus lebih baik berbanding kebanyakan ekonomi besar lain, akan menyumbang kepada sebahagian besar pemulihan ekonomi, sementara Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat akan ketinggalan, kata OECD.

Pertubuhan itu, yang menasihat negara-negara dunia mengenai dasar ekonomi, berkata kerajaan harus terus menyokong orang yang telah terjejas teruk oleh pandemik dan sekatan ke atas kehidupan awam dan perniagaan.

Ia menyarankan pelaburan wang awam dalam bidang yang memberikan faedah jangka panjang seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, mengurangkan ketidaksamaan dan memerangi perubahan iklim. Kerjasama global amat diperlukan untuk memaksimumkan impak kerajaan dalam usaha untuk memulihkan ekonomi. – AP

Orang awam memakai penutup mulut dan hidung berjalan di China Town di Yokohama, wilayah Kanagawa, berhampiran Tokyo kelmarin. Ekonomi dunia diramal pulih kepada tahap sebelum pandemik menjelang akhir tahun depan, kata OECD. – AP