OECD: pertumbuhan ekonomi China langkaui jangkaan

BEIJING, 19 JAN – Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menyatakan pertumbuhan yang dicapai China pada 2020 melebihi unjuran ditetapkan OECD.

Pengarah Jabatan Dasar Ekonomi China OECD, Margit Molnar berkata dalam laporan yang dikeluarkan pada Disember lalu pihaknya mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi China pada kadar 1.8 peratus.

Namun Biro Statistik Negara (NBS) China kelmarin mengumumkan keputusan yang dicapai lebih tinggi berbanding unjuran OECD.

Menurut statistik dikeluarkan NBS, pengiraan peringkat awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China pada 2020 menyaksikan peningkatan 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Margit berkata, melihat kepada pelbagai indikator ekonomi, pemulihan indeks pengeluaran industri perkhidmatan adalah yang paling ketara.

Statistik NBS mendapati indeks pengeluaran industri perkhidmatan pada suku tahun keempat dicatatkan 3.4 peratus lebih tinggi berbanding suku tahun ketiga, sementara indeks pengeluaran indusrtri perkhidmatan sepanjang 2020 direkodkan hampir sama dengan 2019.

Data tersebut sekali gus menunjukkan pembangunan industri perkhidmatan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 telah pulih pada penghujung tahun lepas.

Sementara itu, Margit turut memberitahu, unjuran OECD yang dibuat pada Disember lalu memperlihatkan sumbangan China akan meliputi satu pertiga pertumbuhan ekonomi dunia pada 2021. – Bernama

Seorang wanita memakai penutup mulut dan hidung ketika menjalankan perniagaan makanan di Wuhan, China, kelmarin. OECD menyatakan pertumbuhan yang dicapai China pada 2020 melebihi unjuran ditetapkan. – AFP