OGDC akan kendalikan bengkel drama sains

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Sebagai persediaan bagi Pertandingan Drama Sains Antarabangsa (ISDC) 2020 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) akan mengendalikan bengkel drama sains.

Menurut kenyataan dikeluarkan OGDC, hari ini, bengkel tiga hari berkenaan bertujuan untuk mencari calon-calon berpotensi bagi pasukan yang akan menyertai pertandingan berkenaan pada tahun hadapan.

Bengkel berkenaan dikhususkan bagi para pelajar Tahun 7, 9 dan 10 dengan kadar bayaran istimewa diberikan kepada sekolah yang menghantar lebih daripada tiga orang peserta untuk menghadiri bengkel berkenaan.

Kandungan bengkel merangkumi metodologi lakonan terbaik dan juga mengetengahkan kepentingan kandungan sains yang tepat tetapi dipermudahkan.

Para peserta akan dapat mempelajari mengenai asas edutainment dan drama sains, menghasilkan jalan cerita dan peralatan sains mereka sendiri serta kemahiran lakonan dan mendidik.

Kenyataan menambah, para peserta akan mempelajari kemahiran asas lain seperti kreativiti, komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritikal dan kerjasama yang mana para pelatih drama sains akan menyediakan aktiviti-aktiviti dan cabaran menyeronokkan semasa bengkel berkenaan.

Pendaftaran bagi bengkel berkenaan telah dibuka dan boleh dilakukan menerusi pautan drama sains OGDC rasmi, ogdcbrunei.com/isdc2020.html.

Kenyataan menjelaskan, ISDC adalah pertandingan tahunan yang dibukakan kepada pelajar-pelajar pelbagai usia untuk bertanding dalam drama bertemakan sains untuk meningkatkan minat pelajar terhadap sains menerusi drama selama tujuh minit.

Bagi pertandingan tahun ini yang berlangsung di Beijing, China pada Julai lalu, OGDC telah berjaya membentuk satu pasukan pelajar yang menamakan diri mereka sebagai Oil Town Drama Society.

Dalam pertandingan itu, Oil Town Drama Society berjaya mendapatkan tempat dua dengan dua anugerah pelakon terbaik. Pasukan berkenaan bersaing dengan pasukan-pasukan dari China, Singapura dan Thailand.