Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Oh Hyeon-gyu capai impian sertai Celtic

    GLASGOW, 27 JAN – Penyerang Korea Selatan, Oh Hyeon-gyu akhirnya mencapai impiannya berpindah ke Eropah dengan menyertai Celtic dan berjanji akan membalas kepercayaan pengurus Celtic, Ange Postecoglou dengan prestasi yang terbaik untuk pasukan barunya itu nanti.

    Pemain berusia 21 tahun itu memberitahu pemberita kelmarin bahawa dia pertama kali mendengar tentang minat juara Scotland itu pada September lalu.

    Tetapi perjanjian itu hanya dimuktamadkan awal minggu ini apabila Celtic membayar Suwon Samsung Bluewings £2.5 juta.

    “Selepas saya mendengar tentang tawaran itu membuatkan saya selalu bermimpi untuk datang ke Celtic. Apabila Celtic menawarkan, saya gembira mencapai apa yang saya impikan,” kata Oh.

    “Saya selalu bermimpi untuk berpindah ke kelab Eropah, ia adalah salah satu matlamat utama saya.”

    Oh Hyeon-gyu yang berjaya mencapai impiannya untuk pindah ke Eropah untuk menyertai Celtic. – Agensi

    Oh menyertai koleksi bakat Asia di Celtic, dengan enam pemain Jepun telah mengikuti Postecoglou ke Scotland dari Liga-J sejak dua tahun lalu.

    Penyerang itu berkata kesabaran bekas bos Australia itu untuk mendapatkan sasaran pilihannya adalah kunci kepada penyempurnaan perpindahan itu.

    “Saya sangat gembira akhirnya berada di sini. Sepertimana pengurus mahukan saya, saya mahu membalasnya dengan menjaringkan banyak gol.”

    Oh boleh membuat penampilan sulungnya apabila Celtic bertandang ke Dundee United pada Ahad untuk mengambil satu langkah lagi ke arah mengekalkan gelaran Liga Perdana Scotland.

    “Saya mahu memberikan gambaran yang baik pada penampilan sulung saya dan perlawanan yang tidak boleh dilupakan oleh sesiapa pun,” kata Oh. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...