Oktober catat 76 kesalahan tembakau

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Sebanyak 76 kesalahan telah dicatatkan di bawah Perintah Tembakau 2005 bagi bulan Oktober tahun ini, menurut kenyataan yang  diterima dari Kementerian Kesihatan, hari ini.

Kesalahan-kesalahan tersebut termasuk 72 kesalahan di bawah Bab 14(2) iaitu merokok di tempat yang ditegah dan empat kesalahan di bawah Bab 10(1) Perintah Tembakau 2005 iaitu merokok di kalangan remaja di bawah umur 18 tahun.

Daripada keseluruhan jumlah tersebut, 72 daripadanya lelaki manakala empat lagi wanita yang mana kesemuanya telah dikenakan tindakan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perintah Tembakau 2005.

Perintah tersebut dan peraturan-peraturannya memperuntukkan larangan merokok di tempat-tempat awam termasuk bangunan-bangunan kerajaan, kaki-lima kedai, pusat membeli-belah, pasar, gerai, tamu, stesen bas, perhentian bas, restoran, kedai makan dan dalam lingkungan enam meter dari garis bangunan tempat merokok ditegah.

Larangan itu bertujuan untuk mengawal tabiat merokok serta bagi melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok. Kenyataan itu mengingatkan bahawa Kementerian Kesihatan melalui Unit Penguatkuasaan Kesihatan akan sentiasa melakukan operasi pemantauan bagi kesalahan-kesalahan di bawah Perintah Tembakau 2005 dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dan mengeluarkan saman-saman kompaun kepada sesiapa juga yang didapati melanggarnya.

Dalam usaha membanteras kesalahan yang dilakukan di bawah perintah tersebut kementerian juga mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan aduan mereka dengan menghubungi Unit Penguatkuasaan Kesihatan melalui talian hotline 7192005 atau e-mel kepada health.enforcement@moh.gov.bn.