Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    OKU buktikan mampu jadi tukang jahit berjaya

    GUA MUSANG – Walaupun lahir tanpa tangan dan kaki, Nik Suriyati Zakaria, 38, berjaya membuktikan beliau mampu menjadi tukang jahit yang berjaya.

    Nik Suriyati yang mesra dipanggil Angah berkata segalanya bermula ketika beliau berusia 14 tahun apabila memberanikan diri mengikuti bengkel jahitan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di kawasan perumahannya.

    “Ketika itu guru jahitan berasa waswas untuk menerima saya sebagai pelajarnya memandangkan saya adalah Orang Kurang Upaya (OKU).

    “Namun begitu guru tersebut tetap memberi peluang selepas melihat saya menunjukkan kesungguhan untuk menyertai kelas jahitan itu,” katanya kepada pemberita di Felda Chiku 5.

    Berkat kesabaran, Nik Suriyati berjaya membuktikan kekurangannya bukan penghalang apabila dalam tempoh sebulan beliau berjaya menggunakan mesin jahit dengan baik.

    Tukang jahit pakaian OKU Nik Suriyati Zakaria, menunjukkan baju tempahan pelanggan ketika ditemui pemberita di rumahnya di Felda Chiku 5 baru-baru ini. – Bernama
    Nik Suriyati Zakaria, membuat ukuran kain yang ditempah pelanggannya dengan menggunakan anggota badannya meskipun tidak sempurna. – Bernama

    “Hasil jahitan pertama adalah uniform sekolah saya sendiri yang dihasilkan menggunakan kelengkapan jahitan di bengkel KEMAS itu,” katanya.

    Nik Suriyati ketika ini mampu tersenyum lebar apabila bergelar tukang jahit sepenuh masa yang beroperasi dari rumah dengan memiliki alatan menjahit lengkap seperti mesin jahit, mesin kelim, mesin tebuk lubang, mesin sulam berkomputer serta mesin tekap manik.

    “Saya terima antara 10 hingga 20 tempahan sebulan, jumlah itu boleh meningkat hingga 50 tempahan pada musim perayaan.

    “Saya boleh menjahit pakaian wanita, lelaki, membuat tekapan manik dan tudung,” katanya.

    Sebagai OKU, Nik Suriyati mempunyai pesanan kepada golongan tersebut.

    “Kekal tabah dalam menjalani hidup dan jangan mudah berputus asa kerana di sebalik kekurangan pasti ada kelebihan yang tersembunyi,” katanya.

    Kejayaan Nik Suriyati turut menarik perhatian Kerajaan Kelantan dengan dianugerahkan sebagai Tokoh Usahawan OKU sempena Hari OKU Muqarrabun 2022, April lepas. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...