OKU guna kaki menaip komputer

GUA MUSANG – Dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan bukan halangan buat Mohd Zulkifle Nordin, 24, untuk menjalani aktiviti seharian termasuk makan, menulis malah menaip menggunakan komputer seperti orang yang normal sifatnya hanya menggunakan 10 jari kaki.

Pemilik Ijazah dalam bidang hartanah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak itu kini bertugas sebagai Pengurus Teknologi Maklumat (ICT) di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, di Bandar Chiku, di sini sejak Januari lepas, empat bulan selepas menamatkan pengajian.

Anak ketujuh daripada lapan beradik dari Rancangan Tanah Felda Aring 1 itu berkata, walaupun berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) beliau mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik dan sempurna sama seperti petugas lain yang normal. “Sejak kecil dan belajar di tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Aring saya sudah dilatih menulis, mengira dan melukis menggunakan kaki dan apabila melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi, semua kerja dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah,” katanya ketika ditemui di tempat kerjanya di sini, hari ini.

“Walaupun saya memiliki Ijazah dalam bidang hartanah, namun apabila saya diberi peluang bekerja sebagai Pengurus ICT, Alhamdulillah saya dapat laksanakan seperti kawan lain,” katanya yang hanya bergantung kepada bapanya untuk menghantar dan mengambilnya di tempat kerja kerana tidak boleh membawa kenderaan.

Mengimbau zaman kecilnya, Mohd Zulkifli berkata ramai yang berusaha mendapatkan tangan palsu untuknya, tetapi selepas beberapa kali menemui doktor pakar, mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana kecacatannya tidak sama seperti orang lain. – Bernama

Zulkifle Nordin mampu menaip komputer menggunakan kaki di pejabatnya di Bandar Chiku. – Bernama