OKU tetap nekad sara keluarga

KUALA LUMPUR – Ramai yang mungkin terpaksa menjalani kehidupan yang sukar ketika ini akibat diberhentikan kerja atau pendapatan yang kurang, dalam negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

Apatah lagi bagi Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal seperti Mohd Rafae Abd Raof, 46, yang berasal dari Baling, Kedah yang perlu menyara hidup isteri dan lima orang anak.

Namun, tidak ada putus asa dalam kamus kehidupan Mohd Rafae yang memiliki Diploma Kejuruteraan Mekatronik dari Kolej Negeri (Negeri Sembilan) ini. Saban hari, beliau tetap berusaha gigih untuk memastikan makanan sentiasa tersedia di atas meja buat keluarganya.

Dengan mengambil semangat sambutan Hari Bapa, beliau berharap perkongsian kisah hidupnya ini dapat menjadi inspirasi, “tiada apa yang mustahil sebenarnya di dunia ini. Yang perlu semangat, azam serta usaha gigih. Jangan lupa berdoa semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita.”

Penuh kesukaran

Ketika dihubungi oleh Bernama baru-baru ini, Mohd Rafae yang juga seorang pencipta inovasi kreatif berkongsi pahit maung realiti kehidupan sebaik tamat pengajiannya di Kolej Negeri dan semasa bekerja di sebuah kilang automotif di Senawang, Negeri Sembilan.

Mohd Rafae (kiri) menyerahkan sumbangan berupa pelindung muka hasil ciptaan inovasinya bagi kegunaan petugas sebuah hospital di Lembah Klang. – Bernama
Mohd Rafae Abd Raof (kanan) tidak pernah berputus asa dalam mencari rezeki demi memastikan makanan sentiasa terhidang di atas meja makan biarpun dirinya serba kekurangan dari segi fizikal. – Bernama

“Bayangkan saya baru sahaja tamat belajar dan memulakan karier saya sebagai eksekutif teknikal, baru hampir setahun saya bekerja di situ namun kemudiannya Malaysia dilanda kegawatan ekonomi akibat Krisis Ekonomi Dunia 1998-1999 yang dahsyat.

“Pada ketika itulah saya belajar banyak benda tentang ilmu pengurusan krisis dan bagaimana menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai salah seorang pegawai yang terlibat dalam pasukan menguruskan krisis supaya kilang tidak bankrap, kami mengemukakan pelan khas bagi memastikan operasi kilang terus berjalan lancar. Alhamdulillah, kami berjaya mengharunginya sehingga kilang kembali stabil selepas krisis ekonomi tamat,” katanya.

Setelah hampir tujuh tahun berkhidmat dengan kilang berkenaan, Mohd Rafae mengambil keputusan untuk beralih arah. Beliau kemudian berkhidmat sebagai jurutera automotif di Delphi Packard Electric di Shah Alam, Selangor.

“Saya banyak mengaplikasikan ilmu yang saya belajar di kilang itu dan pengalaman kerja banyak mendewasakan diri saya,” katanya.

Namun begitu, langit tidak selalunya cerah. Begitulah juga dengan kehidupan Mohd Rafae apabila pada 8 Februari 2008, beliau terlibat dalam kemalangan kereta di Jalan Seremban-Kuala Pilah. Kemalangan itu mengakibatkan tulang pinggulnya pecah dan membuatkan beliau tidak lagi dapat berjalan normal seperti dahulu.

“Ketika itu saya sudah pun berkahwin dan anak sulung kami masa itu berumur lima bulan.

Semasa kejadian malang itu berlaku, isteri saya berada di kampungnya di Kuala Pilah bersama anak sulung kami. Namun, kemalangan itu mengubah status saya dari seorang lelaki yang normal fizikal kepada seorang OKU.

“Saya akui kejadian ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada keyakinan diri saya. Kadangkala saya menjadi murung.

“Namun ingatan saya terhadap keluarga membuatkan saya terus tabah walaupun doktor memperakukan saya sebagai cacat kekal, ” jelas Mohd Rafae yang kini terpaksa membiasakan diri berjalan terhincut-hincut akibat kemalangan yang menimpa beliau.

Meskipun berstatus OKU fizikal, keadaan ini tidak sedikit pun menghalang Mohd Rafae untuk terus menggunakan segenap kudrat tulang empat keratnya, mencari nafkah bagi menyara isteri dan anak-anaknya.

Memandangkan beliau mempunyai latar belakang pendidikan kejuruteraan mekatonik dan meminati bidang automatif, beliau mengeluarkan duit simpanan KWSP berjumlah RM120,000 untuk membuka sebuah bengkel servis tayar di Seremban.

Namun, yang dirancang tidak menjadi dan bengkel servis itu terpaksa ditutup pada 2013 selepas tiga tahun beroperasi akibat kehabisan duit modal.

Tidak berputus asa, Mohd Rafae meneruskan minatnya dengan menawarkan perkhidmatan servis kereta secara kecil-kecilan dari rumahnya dan menerima banyak permintaan dari jiran serta rakan terdekat.

Pada masa yang sama, beliau juga menghasilkan pelbagai inovasi, antaranya ciptaan sebuah alatan khas yang boleh membantu tukang paip menembak keluar barang-barang yang tersumbat di dalam lubang tandas.

Inovasi ini pernah memenangi hadiah utama pertandingan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) pada 2015.

Gigih cipta inovasi

Tidak lagi menoleh ke belakang, Mohd Rafae melihat potensi dirinya boleh dikembangkan dalam bidang inovasi serta penciptaan alatan yang boleh membantu memudahkan kehidupan seharian, dalam masa yang sama boleh dijadikan sebagai salah satu punca rezeki buatnya.

Bermula tahun 2016, beliau mula dijemput oleh pelbagai universiti sebagai penceramah berkaitan topik inovasi, dan turut mempunyai modul sendiri untuk dikongsikan bersama peserta.

Beliau juga sering dijemput menjadi jurulatih bagi pelbagai pertandingan inovasi di seluruh negara.

“Khidmat saya untuk masyarakat tidak terhenti di situ kerana saya ingin idea inovasi saya terus memanfaatkan ahli masyarakat. Baru-baru ini, ketika pandemik COVID-19 mula melanda negara pada sekitar penghujung tahun 2019, saya mula mencari idea bagaimana untuk membantu petugas Barisan Hadapan yang ketika itu menghadapi kekurangan bekalan peralatan perlindungan diri (PPE), antaranya pelindung muka,” jelasnya

Di samping mencipta pelbagai produk inovasi, beliau turut mengusahakan perkhidmatan rawatan untuk masalah berkaitan sakit tulang belakang dengan menggunakan teknik urutan beliau sendiri dinamakan teknik Bugaga.

Perlu berdikari

Sebagai bapa, Mohd Rafae berazam tidak mahu anak-anaknya hidup susah selepas ketiadaan beliau nanti apatah lagi status dirinya sebagai seorang OKU fizikal, maka beliau perlu mempersiapkan mereka dengan pelbagai ilmu kelangsungan hidup. – Bernama