Okuhara mara ke final terbuka Denmark

ODENSE, 18 OKT – Bekas juara dunia, Nozomi Okuhara mara ke final Terbuka Denmark dan bakal bertemu Carolina Marin, memberikan harapan kepada sukan badminton Jepun selepas beberapa orang pemain utama mereka membuat keputusan untuk menarik diri dari kejohanan.

Okuhara mengalahkan Michell Li dari Kanada, 21-10, 21-7 sementara juara dunia tiga kali dan pemenang pingat emas sukan Olimpik Marin dari Sepanyol menang 21-17, 21-11 ke atas pemain Jerman, Yvonne Li.

“Saya mengambil keputusan untuk menyertai Terbuka Denmark kerana Marin turut menyertainya, jadi saya sangat gembira untuk mara ke final dan akan dapat beraksi menentangnya,” kata Okuhara.

Okuhara merupakan salah seorang dari beberapa orang pemain Jepun yang berjaya menyertai kejohanan di Eropah selepas pegawai menarik beberapa orang pemain prospek termasuk juara dunia, Kento Momota.

Dalam perlawanan final lelaki, akan menyaksikan perlawanan kedua-dua wakil Denmark iaitu Anders Antonsen menentang Rasmus Gemke.

Antonsen mara ke separuh akhir menentang pemain dari Taiwan, Chou Tien Chen selepas hanya memenangi satu perlawanan dari pertemuan sebelumnya tetapi mara dengan keputusan 21-17, 21-15.

Gemke sebelum ini tidak pernah memenangi tiga pertemuan menentang Kenta Nisimoto tetapi berjaya menewaskan pemain pilihan keempat Jepun itu dengan keputusan 21-14,21-17.

“Dia mempunyai perancangan baharu untuk saya. Dia bermain dengan tempo yang berbeza, skil yang berbeza, jadi ia sangat sukar untuk menentangnya,” kata Chou.

“Ia sangat susah. Dia tidak bermain dengan pantas, tetapi temponya sangat bagus dan ia sangat sukar untuk diikutkan. Tetapi ia adalah kejohanan yang bagus dan saya akan kembali berlatih dengan lebih gigih lagi.”– AFP

Aksi Nozomi Okuhara semasa beraksi dalam Terbuka Denmark. Okuhara mara ke pusingan final dan bakal bertemu Carolina Marin dari Sepanyol. – AFP