Ole yakin terus lakar kemenangan

LONDON, 26 JAN – Ole Gunnar Solskjaer mencabar pemainnya di Manchester United untuk menunjukkan kegigihan mereka ketika menerima kunjungan Sheffield United di Old Trafford esok.

United yakin meneruskan 13 perlawanan tanpa kalah di liga yang membawa mereka ke tangga teratas, di mana Blades hanya menang sekali dalam semua perlawanan musim ini.

Bagaimanapun, pasukan Solskjaer boleh tercicir ke tangga kedua kerana Manchester City dapat menduduki tempat teratas jika mereka berjaya mengalahkan West Brom esok.

Prestasi United semakin meningkat lebih-lebih lagi selepas berjaya menewaskan Liverpool di Piala FA dengan kemenangan 3-2.

Tetapi Solskjaer tetap berhati-hati dengan pasukannya dari kembali ke tabiat buruk mereka seperti yang mereka lakukan sebelum ini.

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer dan pemain Manchester United, Paul Pogba meninggalkan padang selepas perlawanan Piala FA menentang Liverpool di Old Trafford di pada 24 Januari. – AP

“Sekarang saya ingin melihat reaksi, bagaimana kita sekarang dapat kembali mempertahankan kedudukan melawan Sheffield United. Itulah cabarannya sekarang,” kata Solskjaer.

“Kami telah mengalahkan Liverpool dan semua orang gembira, sangat gembira tetapi esok saya ingin melihat pemain memikirkan perlawanan seterusnya.”

United mungkin beraksi tanpa Marcus Rashford, yang mengalami kecederaan lutut ketika menentang Liverpool.

Tetapi Solskjaer akan dapat mengembalikan Bruno Fernandes ke kesebelasan utama setelah dia keluar dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kemenangan menentang Liverpool dengan sepakan percuma yang menakjubkan.

City hanya tinggal dua mata di belakang United yang mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan dan telah meraih 10 kemenangan berturut-turut yang menjadikan pasukan Pep Guardiola sebagai pasukan pilihan untuk memburu gelaran musim ini.

Guardiola, bagaimanapun, harus menghadapi perlawanan tanpa Kevin De Bruyne sehingga bulan depan kerana kecederaan hamstring.

West Brom bersedia memberi ancaman kepada City kerana mereka adalah pasukan terakhir yang mencuri mata dari pasukan Guardiola. – AFP