TOKYO, 20 JULAI – Seorang atlet gimnastik Amerika Syarikat (AS) disahkan positif COVID-19 di kem latihan Olimpik manakala seorang lagi anggota pasukan itu menjalani kuarantin, menurut ketua pasukan dan pegawai Jepun kelmarin.
Atlet gimnasium itu dinamakan oleh bapanya sebagai Kara Eaker berusia 18 tahun yang berada di Jepun sebagai pemain simpanan pasukan yang diketuai oleh bintang AS, Simone Biles.
Eaker berada dalam kuarantin, bersama dengan ‘kenalan rapat’ lain dalam pasukan, ayahnya Mark memberitahu CNN.
Dia mengatakan bahawa anak perempuannya positif dalam kem latihan pasukan di Inzai, sebuah bandar 30 kilometer di sebelah timur Tokyo menambah, dia tidak mengalami sebarang simptom dan diberi vaksin sepenuhnya untuk COVID-19.
Perkembangan terbaharu itu hadir selepas Perkampungan Olimpik yang menyaksikan beribu atlet berkumpul dalam gelembung sukan, terkesan berikutan terdapat kes COVID-19.

“Kami mengesahkan hari ini yang seorang atlet remaja pasukan AS didapati positif COVID-19,” kata Kimiya Kosaku, pegawai di bandar Inzai dan menambah dia tiba di Jepun pada 15 Julai.
“Beberapa atlet lain turut dikategorikan mempunyai hubungan rapat. Dia juga tinggal sendirian di dalam biliknya di tempat penginapan mereka,” kata Kosaku.
Kyodo News melaporkan anggota pasukan lain sudah berpindah ke Perkampungan Olimpik kelmarin.
“Kesihatan dan keselamatan atlet, jurulatih dan kakitangan kami adalah ke-utamaan kami,” kata USOC dalam satu kenyataan yang mengesahkan ujian positif sambil menolak untuk memberikan nama ‘kerana menghormati privasi individu’.
“Selaras dengan peraturan dan protokol setempat, atlet telah dipindahkan ke hotel untuk dikuarantin.”
Biles dan rakan gimnastik AS, MyKayla Skinner menyiarkan gambar diri mereka di Perkampungan Olimpik di Instagram.
Amerika Syarikat menduduki tempat teratas pingat gimnastik di Sukan Rio 2016, dengan Biles memenangi empat pingat emas. – AFP
































