Olimpik: Jepun langkah kanan

TOKYO, 23 JULAI – Afrika Selatan tewas 1-0 kepada Jepun dalam perlawanan pembukaan bola sepak Olimpik semalam, setelah skuad mereka terpaksa menjalani pengasingan diri menjelang perlawanan tersebut.

Seorang penganalisis video dan dua pemain, James Monyane dan Kamohelo Mahlatsi disahkan positif koronavirus pada Ahad lalu, dengan 21 anggota kontinjen pasukan dinamakan sebagai kontak rapat pada hari berikutnya.

Protokol anti-virus yang ketat bermaksud mereka harus tinggal di bilik mereka sendirian dan pasukan itu juga terlepas dua sesi latihan sehingga mereka dibenarkan untuk menyambung semula.

Atlet yang disahkan sebagai kontak rapat di Olimpik Tokyo mesti diuji negatif enam jam sebelum acara mereka dibenarkan bertanding. Terdapat kebimbangan bahawa perlawanan di Tokyo tidak akan dapat diteruskan sekiranya Afrika Selatan tidak dapat mendaftarkan minimum 13 pemain yang diperlukan.

Tetapi mereka mengatasi rintangan itu dengan memainkan enam pemain gantian yang ada di bangku simpanan mereka dan hampir meraih satu mata menentang Jepun. Penyerang Real Madrid, Takefusa Kubo menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-71 dengan melakukan tendangan kaki kirinya.

Jepun mempamerkan aksi yang lebih baik pada separuh masa pertama tetapi gagal menemukan peluang mereka, dengan Kubo dan Koji Miyoshi kedua-duanya terlepas peluang yang baik.

Daichi Hayashi berjaya menjaringkan gol tetapi dibatalkan oleh pengadil garisan kerana ofsaid. Hayashi mempunyai peluang keemasan pada separuh masa kedua, tetapi penjaga gawang Afrika Selatan, Ronwen Williams berjaya penyelamatan dengan baik dari jarak dekat. – AFP

Aksi pemain pertahanan Afrika Selatan, Repo Malepe ketika bersaing merebut bola dengan pemain tengah Jepun, Koji Miyoshi semasa perlawanan bola sepak pusingan pertama Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Stadium Tokyo semalam. – AFP