Olimpik: Misi ‘hidup atau mati’

KUALA LUMPUR, 15 JULAI – Memandangkan sukan karate akan dipertandingkan buat pertama kali di Sukan Olimpik tahun depan, ia akan menjadi edisi yang julung kali mempertandingkan sukan tempur itu dalam sejarah temasya berkenaan selepas tuan rumah edisi 2024, Paris tidak menyenaraikannya dalam acara sukan yang akan dipertandingkan.

Mengambil kira perkara itu, atlet karate negara, R. Sharmendran akan berusaha keras meraih tempat untuk beraksi dalam temasya sukan terbesar di dunia dan seterusnya berjuang untuk memenangi pingat di podium berprestij itu.

Ini termasuk mengambil risiko menangguhkan pembedahan kecederaan lutut kanannya yang telah dihadapi atlet acara kumite berusia 28 tahun itu sejak Disember 2018, walaupun perlu menanggung kesakitan.

“Selepas ini mungkin tidak ada lagi acara karate di Olimpik atau itu (Olimpik Tokyo) boleh menjadi pertandingan terakhir saya, kita tidak tahu. Jadi buat masa ini, kita hanya perlu

mempersiapkan yang terbaik untuk menghadapi kejohanan kelayakan.
“Mengenai kecederaan ini, saya tidak mahu menjalani pembedahan sekarang walaupun ia menyakitkan…Ini adalah peluang terakhir, saya boleh melakukannya selepas Olimpik. Malahan sebelum Sukan SEA Filipina 2019, saya memerlukan masa lapan bulan untuk pulih tetapi saya berjaya kembali dalam masa empat bulan.

Ketika itu saya mengambil beberapa suntikan PRP (Platelet-rich Plasma) dan ubat-ubatan untuk terus bersaing walaupun dalam kesakitan. – Bernama