Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Olimpik semarakkan keghairahan sukan musim sejuk di China

    LANZHOU, CHINA – Ketika Sukan Olimpik Beijing 2022 semakin hampir, keghairahan untuk sukan musim sejuk telah meningkat di barat laut China.

    Pangkalan latihan acara salji kebangsaan Baiyin di barat laut wilayah Gansu China sering dipenuhi dengan anak-anak muda. Lebih 200 pelajar sekolah rendah berbaris di taman peranginan Huada untuk bermain ski sebagai sebahagian daripada lawatan pendidikan mereka.

    Di bawah bimbingan pengajar mereka, Wu Chenghui dan rakan sekelas sekolah rendahnya mengambil masa kira-kira empat jam untuk mempelajari kemahiran asas ski.

    “Saya teruja bahawa Sukan Olimpik musim sejuk Beijing akan datang. Saya akan menonton pertandingan ski di TV,” kata Wu yang berusia 12 tahun, yang menambah bahawa dia berharap ibu bapanya akan membawanya bermain ski semula pada musim sejuk ini.

    Kerajaan tempatan telah memasukkan pengajaran sukan musim sejuk ke dalam kelas pendidikan jasmani di sekolah rendah dan menengah serta merancang untuk membawa sukan musim sejuk ke dalam kampus sebagai sebahagian daripada lawatan pendidikan.

    “Saya berharap lebih ramai kanak-kanak akan menikmati sukan musim sejuk. Kami semua bersorak untuk sukan Olimpik musim sejuk Beijing,” kata Lu Wen, pengurus taman peranginan Huada, sambil menambah bahawa lebih daripada 2,000 pelajar sekolah rendah dan menengah tempatan telah mengambil bahagian dalam sukan musim sejuk di taman peranginan tersebut.

    Pangkalan latihan kebangsaan ini dibina oleh kumpulan pembinaan Shandong Huada pada akhir 2019 dan mengandungi pusat perkhidmatan pemain ski dengan lebih 100 bilik, pusat peranginan ski seluas 75,000 meter persegi, dewan latihan dalaman dan padang biathlon.

    Kejohanan ski merentas desa China 2020-2021 dibuka di pangkalan tersebut Januari lalu. Lebih 200 atlet dan jurulatih daripada lebih 20 pasukan di seluruh China mengambil bahagian.

    Liu Pengfei, ketua jabatan latihan dan pertandingan pusat pengurusan sukan musim sejuk Gansu, berkata bahawa lebih 50 pemain ski dari pusat itu sedang berlatih di pangkalan tersebut.

    “Iklim sub-plateau di sini adalah faktor utama dalam meningkatkan prestasi pemain ski,” kata Liu.

    Li Yingtao, timbalan pengerusi kumpulan pembinaan Shandong Huada, berkata Paralimpik dari pasukan ski merentas desa dan biathlon China telah datang ke pangkalan itu untuk bersiap sedia menghadapi sukan Paralimpik musim sejuk 2022. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...